Aku, Isteri & Mertua…

  • Sharebar

Ada seseorang yang berkongsi sejarah hidupnya dengan saya. Saya ingin kongsikan pula di sini kerana terlalu banyak pengajaran penting yang kita boleh ambil darinya.

Katanya, dia seorang yang sudah jauh tersimpang dari keperibadiannya sebelum ini. Kalau dulu, masa zaman sekolah, dia bersekolah agama. Selain itu, dia juga bilal surau, sentiasa patuh dan tepat waktu mendirikan solat, puasa ramadhan penuh, menjauhi diri dari segala hal terlarang, selalu jadi naib juara musabaqah diperingkat daerah, sentiasa ingat kapada Allah, dan tidak pernah kenal bomoh-bomoh atau apa-apa saja yang berkaitan syirik, sehinggalah dia dewasa, mahu mendirikan rumahtangga.

Kini, dia berubah. Semakin lama semakin teruk sejak berkenalan dengan seorang perempuan yang kini dah bergelar isterinya.

Dia kemudiannya, menjadi seorang yang meninggalkan solat sepanjang tahun, tak pernah puasa, berzina. Bila dah kawin, dia dan isterinya hidup tanpa mengambil kira cara didikan islam. Isterinya; tak mendengar kata, tak mahu menutup aurat, gemar menerima rasuah. Dia pula tak berdaya nak menegur isterinya yang degil. Mereka kadang-kadang bertengkar bila sesekali berjumpa, sebab berbincang untuk tinggal serumah.

Isterinya leka dengan persatuan dan politik. Dia sentiasa bersendirian. Akhirnya dia `tension’ dan mula mengambil arak.

Perkahwinan mereka, sejak tahun 2004 hinggalah ke hari ini, dikurniakan dua anak. Ada pun dua anak lagi, dia dipaksa mentua dan isterinya untuk buang semasa dalam kandungan dengan pilihan lain, menceraikan isterinya.

Selapas berkahwin setahun lebih, mereka tidak lagi tinggal serumah. Tiga atau empat bulan sekali, isterinya balik untuk dua hari, Sabtu dan Ahad, sedangkan jarak tempat tinggal mereka hanya 35 minit saja.

Semakin hari, isterinya, memberikan tekanan kepadanya. Sudahlah hidup mereka, tak seperti rumahtangga yang lain. Walaupun berdekatan, tetapi atas kemahuan isteri dan ibunya; yang hanya mementingkan duniawi, mereka tinggal berasingan dan dia semakin sunyi. Hidup bagai tiada arah. Dia mula mencari hiburan diluar. Berjinak-jinak dengan perempuan-perempuan liar diluar.

Ketika dia terus berharap agar isterinya; yang bersikap mementingkan diri dan sombong itu, berubah; mahu bersama membahagiakan rumahtangga, hidup bersama dengan mesra dan kasih sayang, dia mendapat tahu bahawa isterinya bercinta-cinta dengan lelaki lain yang lebih berduit, kaya dan berpangkat.

Dia saksikan sendiri `SMS’ cinta mereka. Malah, berulang pula dia mengetahui rahsianya bercinta dengan lelaki lain. Dia semakin kecewa dan hilang pertimbangan. Sebagai membalas dendam kepada isteri kerana sia-sia menantinya untuk berubah, dia berzina pula dengan perempuan yang dia kenali di luar.

Dia menyesali perbuatannya, setiap kali melakukannya, tetapi dia selalu jadi kalah, bila perbuatan isteri dia bagai sediakala cuba melingkupkan dia. Isterinya, selalu mengecewakannya.

Ibu mertuanya yang bersikap `Queen Control’ dan `Conquer’; dan menjadi mentor kepada isterinya, membuatkan dia sukar nak mendidik atau menasihati isterinya. Malah, dia yang cuba diperintahnya, dia yang cuba diarahnya.

Sebagai menggula-gulakan isterinya yang gemarkan duit, supaya dia balik kerumah dan dia dapat “menikmati” isteri dia sekali sekala, dia terpaksa memancingnya dengan duit, suruh dia datang ambil di rumah. Bolehlah dia bermain-main dengan anak, dan rasa membawa anak isteri berjalan-jalan dan bermesra memadu kasih dengan isteri kalau dia bertuah hari itu.

Kekadang malangnya, isterinya, berkata: “tak ada Mood”; atau, “letih otak tengah pikir program politik esok”. Harapan bertemu lagi dua atau tiga atau empat bulan akan datang, tetapi duit tiap dua minggu sekali, di`bank-in’kan.

Akhirnya, dia dah jadi `complete’ jahatnya. Dia jadi penzina, minum arak (nasib baik arak tidak menjadi kebiasaannya kerana dia berasa lebih sengsara hidup bila minum arak dan melayan mabuk), tinggalkan solat dan puasa.

Oleh kerana terlalu sayangkan rumahtangga; dan isterinya yang semakin lama asyik melayan cinta dengan lelaki lain semata-mata kerana hartanya, duit ringgit yang dijanjikan dan pangkat dalam politik, dia mula mencari bomoh pula untuk mengikat rasa cinta dan kasih isteri terhadapnya. Macam-macam perkara dia mesti lakukan; sediakan barang itu dan ini, baca jampi, tabur itu dan ini dihalaman rumah, mandi bunga di sungai dan berbagai-bagai lagi.

Bila rasa semacam tiada apa-apa kesan, dia jumpa bomoh lain pula. Tak kiralah di negeri mana pun dalam Malaysia ni. Dia langsung tak rasa sayang pada duit waktu itu, padanya yang penting adalah isteri dan anaknya akan tinggal dengannya dan hidup bersama.

Keadaan mereka, semakin lama semakin meruncing. Isteri tak putus-putus, kata nak bercerai kerana dia dianggap isterinya, jadi batu penghalang untuk berjaya dalam politik dan mengejar kemewahan.

Macam-macam perkara dia cuba; ikut cara perbomohan dan sebagainya, akhirnya dia rasa kecewa juga. Dia semakin gelisah dan tak tentu arah. Semakin kerap menyentuh arak, berzina. Tiada lagi tumpuan dan minat terhadap `bisnes’nya dan semakin gila mencari bomoh yang lebih hebat lagi.

Setelah hampir empat tahun dia tumpukan perhatian kepada menyelesaikan hal rumahtangga dengan cara perbomohan dan hidup penuh melakukan dosa. Kini, dia sedar bahawa mungkin dia bukan jodoh isterinya lagi.

Dia nak balik kepada diri dia yang asal dulu. Insan yang elok hidupnya; mengaji Al-Quran tiap malam, tak tinggal solat, berpuasa, jiwa dan hati tenang, segala apa dia buat dan kerjakan sempurna dan berkat. Kini dah hampir setahun, walaupun dia dah mula mendirikan solat, tak lagi minum arak, tinggalkan dan hilang langsung kepercayaan kepada perbomohan, tak jejak lagi ke pusat hiburan, namun dia tak boleh lari melakukan zina.

Tuntutan batinnya, kekadang cuba menahan, tapi akhirnya dia lakukan juga, bersama seorang perempuan yang dia sangat sayang dan kasih. Perempuan itu jugalah yang banyak membantunya semasa dia kejatuhan ekonomi dan mengambil berat hal makan minum dan kesihatannya.

Dia mahu bernikah dengannya dan bersama-sama mengubah diri; mengerjakan solat dan belajar pengetahuan agama di surau-surau yang kami singgah dan melalui buku-buku agama. Cuma, mereka tak boleh nak menjauhi zina.

Dia meminta pertolongan saya berikan pandangan dan bimbingan; bagaimana mahu mengatasi masalah ini. Mereka mahu bertaubat, di redhai Allah, keluar dari keadaan yang tak sempurna itu. Kadang-kadang mereka dapat merasakan buat apa kerja pun, tak mendatangkan berkat; ini mungkin kerana keadaaan mereka berdua dimurkai Allah.

RESPON:

Sekarang, marilah kita bermuhasabah dengan kisah yang diceritakan di atas; dengan mencari di manakah kesilapan-kesilapan yang dilakukan, agar ianya tidak diulangi lagi oleh sesiapa yang mahu mengambil kebaikkan dari kisah ini.

Kesilapan utama dan paling besar yang saya boleh nampak dari apa yang diceritakan adalah kesilapan memilih pasangan. Islam mengajarkan kepada umatnya untuk berhati-hati dalam memilih pasangan hidup kerana hidup berumah tangga tidak hanya untuk satu atau dua tahun saja, akan tetapi diniatkan untuk selama-lamanya sampai akhir hayat kita.

Dalam memilih calon isteri, Islam telah memberikan beberapa petunjuk.

Di antaranya adalah hendaknya calon isteri itu memiliki dasar pendidikan agama dan berakhlak baik kerana wanita yang mengerti agama akan mengetahui tanggung jawabnya sebagai isteri dan ibu. Aspek agama, mestilah menjadi perkiraan yang lebih penting berbanding rupa, harta dan lain-lain.

Seorang wanita yang memiliki ilmu agama, selalunya akan berusaha dengan ilmu tersebut untuk menjadi wanita yang solihah dan taat pada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Wanita yang begini akan beroleh pemeliharaan dari Allah, sebagaimana yang difirmankanNya di dalam ayat 34 surah an-Nisa’.

Kesilapan kita adalah memikirkan kononnya bahawa perempuan yang rosak agama dan akhlaknya, diambil sebagai isteri untuk dididik dan diasuh.

Di sini kita perlu memahami bahawa rumah kita, bukanlah tempatnya untuk mendidik mereka yang bergelar isteri atau ibu. Sebaliknya, rumah kita adalah tempat untuk mendidik anak-anak. Malah, isteri atau ibulah yang perlu memainkan peranan lebih besar di dalam hal ini kerana sebahagian besar dari masa suami atau ayah, sibuk mencari nafkah.

Ini menunjukkan, penting untuk isteri itu, seorang yang telah di`didik’ dengan tarbiyah Islamiah.

Alam perkahwinan, bukanlah `sememster’ untuk menjalankan proses pendidikan ke atas isteri. Apa yang berlaku sepatutnya adalah proses pendidikan lanjutan dari proses pendidikan yang telah diterima oleh isteri sebelumnya.

Dalam erti kata lain, seseorang perempuan itu, mestilah `graduate’ terlebih dahulu sebelum menjadi seorang isteri. Proses yang berlaku selepasnya, hanyalah untuk menambah kualiti dirinya sebagai seorang isteri dan ibu.

Seorang perempuan yang solehah, selalunya datang dari ibubapa yang baik; yang sudah tentunya tidak akan menjadi `bara’ untuk memanaskan situasi rumahtangga kita nanti.

Jika pun seorang perempuan yang soleh itu, ibubapanya berakhlak buruk, maka sebagai perempuan yang punyai jati diri tidak akan membiarkan dirinya dipengaruhi oleh unsur jahat, walau datangnya dari ibunya sendiri.

Kelemahan berikutnya pula adalah sikap menyayangi isteri, melebihi kasih sayang kepada Allah dan Rasul (s.a.w). Sikap inilah yang membawa kepada sifat dayus; sehingga si suami tidak dapat punya pengaruh ke atas isteri, sebaliknya dipengaruhi.

Kelemahan selanjutnya pula adalah tidak dapat mengawal diri sendiri. Mencari penyelesaian dan ketenangan dengan cara yang menyimpang dari yang diajarkan oleh Islam. Bukankah di dalam ajaran Islam, mengingati Allah itu dapat menenteramkan jiwa.

Kisah yang diceritakan ini juga membuktikan benarnya apa yang saya pernah terbaca bahawa punca utama krisis rumahtangga dan penceraian adalah campur tangan ibubapa atau mertua. Oleh itu, para ibubapa yang mahukan kebahagiaan anak-anak mereka, janganlah cepat dan selalu mencampuri urusan rumahtangga anak-menantu mereka, kecuali keadaan memerlukan.

Saudara yang kita sayangi ini, hendaklah serta merta berhenti dan bertaubat dari perbuatan zina yang dilakukannya bersama pasangan kekasihnya.

Dia boleh berkahwin dengan kekasihnya itu, jika mereka benar-benar menyayangi dan memahami di antara satu sama lain. Dia tidak perlu menceraikan isterinya, melainkan jika ianya tidak boleh dielakkan.

Rumahtangga bukanlah gurun penyeksaan untuk seorang lelaki mahu pun wanita. Jika ia sudah menjadi `neraka’ bagi si suami mahu pun isteri, maka tiada ertinya lagi untuk sesuatu perkahwinan itu diteruskan. Ia akan lebih mengundang dosa daripada pahala.

Hidup, bukanlah untuk dibazirkan dengan pertarungan berpanjangan di dalam medan pertempuran rumahtangga semata-mata, sehingga melupai tujuan kehidupan yang sebenar. Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain seperti khulu’ dan fasakh untuk memboleh seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman yang baru. Islam tidak seperti sesetengah agama yang menganggap perkahwinan itu semestinya abadi dan tiada jalan keluar lagi sekalipun terpaksa hidup memamah derita.

Sekian.

والله أعلم

Incoming search terms:

  • main dengan ustaz
  • main dengan isteri ustaz
  • cerita main dengan isteri ustaz
  • cerita main dengan ustaz
  • main dengan bini ustaz
  • main bini ustaz
  • main dengan bomoh
  • main dgn ustaz
  • main dengan mertua
  • main isteri ustaz

No related posts.

4 thoughts on “Aku, Isteri & Mertua…

  1. Assalamualaikum Ustaz,
    Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Ustaz kerana sudi berkongsi kisah saya itu dan memberi nasihat yang melegakan hati saya. Dengan susunan ayat, dan karangan Ustaz mengatur balik cerita saya, memberi impak penerangan lebih jelas tentang kisah saya. Saya mesti kata, ustaz pengarang yang baik. Terima kasih banyak, Ustaz Sham.

    Kami berdua (kekasih saya) telah memutuskan untuk tinggal berasingan, dan telah pun berpindah. Alhamdulillah, kurang satu perbuatan dosa kami. Kami merancang untuk menikah secepat yang boleh, memandangkan kami berdua selalu jua bersama pergi dan balik kerja, makan dan urusan2 lain. Dimana, telah saya terangkan sebelum ini, kami berdua sepakat dan berkongsi pendapatan malah apa saja. Saya telah menemui ibunya dan ahli keluarganya, dan telah pun perkenalkan kepada ibu bapa saya. Alhamdulillah, kedua-dua pihak berkenan kepada kami. Untuk perbincangan kepada pernikahan, selain ibunya menasihatkan kepada saya selesaikan dulu dgn isteri saya, ibunya juga meletakkan sekian jumlah belanja untuk pernikahan. Harganya tak lah mahal sangat, tetapi saya dan kekasih saya sedang melalui proses membaik pulih ekonomi kami. Pendapatan saya buat masa ini, perlu membiayai hutang tertunggak yang saya hadapi selepas kejatuhan perniagaan saya sebelum ini. Malahan, selain membiayai kedua orang tua saya serba sikit, serta nafkah buat anak2 saya, dan keperluan saya di tengah bandar Kuala Lumpur yang serba mahal ni, saya juga membantu kekasih saya yang juga pendapatannya tak cukup untuk menampung pembayaran hutang yang dia hadapi. Buat makluman Ustaz, kami sedang berusaha untuk memperbaiki ekonomi kami berdua, dan berkongsi pendapatan kami untuk selesaikan hutang2 tertunggak kami berdua. Dalam usaha kami untuk menikah, kami menghadapi kesulitan dalam mendapatkan persetujuan ibu kekasih saya itu, untuk adakan sekadar majlis akad nikah dulu, kemudian selepas kami dah cukup kumpul duit untuk kenduri, baru buat majlis kenduri. Ibunya tak setuju. Pada pihak ibu bapa saya, tiada masalah apa2. Mereka mahu kami segera menikah, dimana ibu dan bapa saya takut kalau kami terlanjur melakukan dosa besar. Ustaz, pada perbincangan saya dgn kekasih saya itu, kami ingin membuat keputusan untuk mencari wali hakim, berjumpa dgn ustaz atau imam atau pejabat agama, untuk menikahkan kami. Dimana, bapa kepada kekasih saya ni, tiada di Malaysia, berkahwin dan menetap di Bangkok, Thailand setelah bercerai dgn ibunya semasa kekasih saya masih kecil lagi. Jadi kami sekarang sedang pertimbangkan mana cara yang lebih baik, samada menjaga perasaan ibunya yang sememangnya mahu anak pertamanya menikah dengan keramaian, atau kami mengutamakan kemurkaan Allah SWT yang Maha Melihat tu dahulu, sedangkan perbuatan kami yang terkadang2 tergelincir jua. Saya takut, disebabkan dosa yang kami lakukan dan cara kami yang dalam berdosa, memberatkan rezeki kami dan sudah tentu lah semakin sulit dan susah keadaan kami.
    Kami mahu hidup kami teratur dalam keberkatan Allah, Kami kerjakan Solat, tunaikan zakat, buat puasa sunat kadang2, berzikir dan selalu berdoa minta redha Allah dan dipermudahkan segala urusan dan rezeki kami, walhal kami masih lagi dalam keadaan melakukan dosa setiap hari. Alangkah baiknya, seandainya cara kami berkasih sayang, saling bantu membantu, mengerjakan ibadah, sama2 pergi dengar ceramah agama di masjid dalam keadaan kami ni bergelar suami dan isteri.. Dapat pahala besar. Padahal pada hukum, tidak diterima solatnya atau amalannya jika solatnya itu masih tak dapat menghindarkan seseorang itu dari melakukan kejahatan. Na’uzubillahiminzholiq. Kami tak mahu hidup dalam sia-sia Ustaz.
    Ustaz, niat kami ni cuma nak elak dari melakukan dosa, agar rezeki yang kami cari, pekerjaan dan perniagaan yang kami nak usahakan, ibadah yang kami kerjakan, segalanya mendapat Redha dan keberkatan Allah. kami tak berniat nak membelakangkan Ibu. Apakah pada pandangan Ustaz, adakah patut kami menikah dulu tanpa pengetahuan ibunya buat sementara, cuma pada pengetahuan ibu bapa saya, dan buat kenduri seperti kemahuan ibunya selepas kami cukup duit nanti, atau bagaimana? kalau patut kami minta pertolongan Wali hakim, dimana perlu saya rujuk, atau boleh ke saya temui Ustaz sendiri? Rumah saya tak jauh dari rumah ustaz sebenarnya. mohon jasa baik Ustaz berilah nasihat kepada kami.
    Terima kasih, Assalamualaikum.

    [Reply]

    Ustaz Sham Reply:

    Dalam hal ini, saudara perlu hubungi saya secara pribadi. Ini no tel saya; 0129405964.

    [Reply]

  2. Ustaz, ada soalan lagi.
    Apakah isteri saya itu masih lagi isteri saya yang sah? padahal kami dah langsung tak bertemu atau berhubung melalui apa cara pun selama lebih kurang hampir 3 tahun. Apakah situasi kami dari segi hukum? Minta khidmat baik Ustaz perjelaskan pada saya.
    Terima kasih.

    [Reply]

    Ustaz Sham Reply:

    Jika saudara belum lafazkan talak, maknanya masih suami isteri yang sah.

    [Reply]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>