Umum

Khalwat: Berduaan Lelaki dan Perempuan yang Ajnabi

Iklan

HUKUM KHALWAT DALAM ISLAM

Maksud khalwat di sini adalah berduaan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi; atau bukan mahram menurut hukum Islam.

Ajnabi bermaksud yang tidak dilarang berkahwin oleh syara’. Manakala mahram bermaksud, yang dilarang berkahwin, mengikut hukum syara’.

SENARAI MAHRAM BAGI PEREMPUAN

1 – Suaminya. Adapun setiap perilaku isterinya dalam menjaga kehormatannya adalah termasuk juga dalam rangka berbakti untuk suaminya. Dengan itu, isteri boleh melakukan apa sahaja (bukan sekadar melepaskan apa yang menutup auratnya) di hadapan suaminya selama mana tiada individu lain atau lelaki lain bersama mereka.

2 – Bapanya, termasuk datuknya. Sama ada datuk dari pihak ibu ataupun ayah.

3 – Bapa mertuanya.

4 – Anak-anaknya dan anak-anak suaminya. Termasuklah cucu dan seterusnya.

5 – Adik-beradiknya secara mutlak, sama ada adik beradik kandung, adik beradik se-bapa, adik beradik se-ibu, dan seterusnya ke bawah seperti anak-anak mereka dan cucu mereka.

6 – Anak saudara lelakinya dari adik beradik lelaki atau perempuan.

7 – Bapa saudaranya dari pihak bapa mahupun dari pihak ibu.

8 – Mahram kerana penyusuan. Para ulama bersepakat bahawa mereka sama seperti mahram yang lainnya.

9 – Termasuk mahram yang diharamkan nikah dengannya untuk selamanya adalah seperti bapa mertua, menantu lelaki, dan bapa tiri (yang telah bergaul bersama-sama ibunya).

SENARAI MAHRAM BAGI LELAKI

1 – Isterinya.

2 – Ibunya, termasuk neneknya. Sama ada nenek dari pihak ibu ataupun ayah.

3 – Ibu mertuanya.

4 – Anak-anaknya dan anak-anak suaminya. Termasuklah cucu dan seterusnya.

5 – Adik-beradiknya secara mutlak, sama ada adik beradik kandung, adik beradik se-bapa, adik beradik se-ibu, dan seterusnya ke bawah seperti anak-anak mereka dan cucu mereka.

6 – Anak saudara perempuannya dari adik beradik lelaki atau perempuan.

7 – Ibu saudaranya dari pihak bapa mahupun dari pihak ibu.

8 – Mahram kerana penyusuan. Para ulama bersepakat bahawa mereka sama seperti mahram yang lainnya.

9 – Termasuk mahram yang diharamkan nikah dengannya untuk selamanya adalah seperti ibu mertua, menantu perempuan, dan ibu tiri (yang telah bergaul bersama-sama bapanya).

Selain dari mereka yang disebutkan, maka tidak termasuk mahram. Termasuk haramnya khalwat dengan tunangan sendiri sebelum terjadinya akad nikah.

Hukumnya khalwat antara laki-laki dan perempuan lain adalah haram secara mutlak berdasarkan firman Allah surah Al Isra’ 17:32.

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

Maksudnya: “Janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”

Ayat di atas mengharamkan dua perkara sekaligus: pertama zina; dan kedua, segala perilaku yang mendekati perbuatan zina termasuk di antaranya adalah ‘berduaan antara dua lawan jenis yang bukan mahram’; yang disebut dalam istilah bahasa Arab dengan, ‘khalwat dengan yang selain mahram’.

Juga berdasarkan pada hadis riwayat Ahmad dalam kitab Musnad, hadis no. 14692;

من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يخلون بامرأة ليست معها ذو محرم منها فإن ثالثهما الشيطان

Artinya: Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhir maka hendaknya tidak berkhalwat dengan perempuan bukan mahram karena pihak ketiga adalah syaitan.

Berikutan dari haramnya khalwat antara lain adalah keharusan seorang wanita yang hendak bepergian agar ditemani oleh mahramnya seperti sabda Nabi s.a.w dalam Hadis riwayat Muslim no. 1340;

لا يحل لمرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفراً يكون ثلاثة أيام فصاعداً إلا ومعها أبوها أو ابنها أو زوجها أو أخوها أو ذو محرم منها

Artinya: tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman pada Allah dan hari akhir melakukan perjalanan selama tiga hari atau lebih kecuali ditemani oleh ayahnya, atau anaknya, atau suaminya, atau saudara kandungnya atau mahramnya yang lain.

Adapun batasan dari khalwat menurut kitab Hasyiah Bujairami alal Manhaj 3/421; Hasyiah Al-Jamal 4/124 adalah:

وضابط الخلوة اجتماع لا تؤمن معه الريبة عادة بخلاف ما لو قطع بانتفائها عادة فلا يعد خلوة ع ش على م ر من كتاب العدد

Artinya: Batasan yang dinamai khalwat adalah pertemuan yang tidak diamankan terjadinya kecurigaan kearah zina secara kebiasaan berbeza ketika dipastikan tidak akan terjadi hal yang demikian secara kebiasaannya maka tidak dinamai khalwat.

KHALWAT YANG DIBOLEHKAN

Menurut Al-Mausuah Al-Fiqhiyah 17/267 disebutkan bahwa ada juga khalwat yang dibolehkan yakni dalam situasi seperti digambarkan di bawah:

ومن المباح أيضا الخلوة بمعنى انفراد رجل بامرأة في وجود الناس بحيث لا تحتجب أشخاصهما عنهم , بل بحيث لا يسمعون كلامهما فقد جاء في صحيح البخاري : { جاءت امرأة من الأنصار إلى النبي صلى الله عليه وسلم فخلا بها } وعنون ابن حجر لهذا الحديث بباب ما يجوز أن يخلو الرجل بالمرأة عند الناس , وعقب بقوله : لا يخلو بها بحيث تحتجب أشخاصهما عنهم , بل بحيث لا يسمعون كلامهما إذا كان بما يخافت به كالشيء الذي تستحي المرأة من ذكره بين الناس وتكون الخلوة حراما كالخلوة بالأجنبية على ما سيأتي تفصيله . وقد تكون الخلوة بالأجنبية واجبة في حال الضرورة , كمن وجد امرأة أجنبية منقطعة في برية , ويخاف عليها الهلاك لو تركت

Artinya: “Termasuk khalwat yang boleh adalah berduaannya seorang lelaki dan seorang wanita di depan banyak orang sekiranya keberadaan keduanya tidak tertutup dari mata orang banyak walaupun mereka tidak mendengar percakapan keduanya. Ada sebuah hadis dalam Sahih Bukhari yang menyatakan: “Seorang perempuan Ansar datang pada Nabi lalu Nabi berduaan dengannya.” Ibnu Hajar memasukkan hadis ini dalam bab “Bolehnya lelaki dan perempuan khalwat ditempat orang ramai.” Ibnu Hajar mengulas hadis ini demikian: Lelaki tidak boleh berkhalwat dengan wanita apabila keberadaan keduanya tertutup (terhalang) dari pandangan orang ramai.

MENCEGAH DARI BERLAKUNYA KHALWAT ADALAH TERMASUK DALAM KEWAJIPAN

Berdasarkan keterangan terdahulu, khalwat adalah mungkar di atas beberapa hujjah, di antaranya adalah kerana ianya adalah perbuatan terlarang oleh agama dan ia juga adalah termasuk ke dalam perkara-perkara yang menghampirkan kepada zina. Zina adalah haram dan apa perbuatan yang membawa kepadanya juga adalah haram.

Di sana, terdapat ancaman di dalam firman Allah (s.w.t) :-

واتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (Surah al-Anfal: ayat 25)

Al-Baghawi, di dalam mengulas ayat di atas telah menyalin kata-kata Ibnu Abbas berhubung dengan ayat sama yang menyebutkan bahawa Allah Azza wa Jalla memerintahkan orang-orang yang beriman agar jangan membiarkan kemungkaran kekal di antara mereka kerana ianya akan menyebabkan Allah meratakan azabNya menimpa orang yang berbuat dosa dan juga yang tidak berbuat dosa.

HUKUM MENJAGA PRIVASI DALAM ISLAM

Sememangnya di dalam Islam ada perintah untuk menjaga privasi setiap orang. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT:

ولا تجسسوا

Ertinya : Janganlah engkau mengintip-ngintip ( Al-Hujurat : 13

Perlu difahami bahawa setiap rumah dan inidividu dijaga hak, kehormatan dan maruahnya oleh Islam berdasarkan hadis yang banyak. Malah dosa peribadi yang dilakukan di rumah adalah antara individu dengan Allah SWT. Antaranya sebuah hadith sohih menyebut:

كل أمتي معافى إلا المجاهرين

Ertinya : Setiap umatku (boleh) diampunkan kecuali yang berterangan-terangan (melakukan maksiat tanpa malu dan takut)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda :

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Ertinya : “Jauhilah perkara-perkara keji (maksiat) yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menyembunyikannya dengan tutupan (yang diberikan) Allah dan bertaubat kepada Allah SWT. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” [Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.]

Juga sebuah kisah yang popular berkenaan tindakan Sayyiidna Umar r.a iaitu :-

عبد الرحمن ابن عوف أنه حرس ليلة مع عمر بن الخطاب, فبينا هم يمشون شب لهم سراج في بيت, فانطلقوا يؤمونه حتى إذا دنوا منه إذا باب مجاف على قوم لهم فيه أصوات مرتفعة ولغط. فقال عمر وأخذ بيد عبد الرحمن: أتدري بيت من هذا؟ قال: قلت: لا. قال: هو ربيعة بن أمية بن خلف وهم الآن شرب فما ترى؟ قال عبد الرحمن: أرى قد أتينا ما نهانا الله عنه نهانا الله فقال: ((ولا تجسسوا)) فقد تجسسنا. فانصرف عنهم عمر وتركهم.

(Daripada) ‘Abd al-Rahman bin Auf radhiallahu ‘anhbahawasanya beliau pernah berjaga malam bersama ‘Umar bin al-Khattab. Tatkala mereka sedang mengelilingi kampung, mereka melihat sebuah lampu yang sedang menyala dari rumah, maka mereka menghampiri rumah tersebut. Ketika mereka menghampiri, mereka dapati pintu rumah tersebut terbuka tanpa seorang pun di sana, sedangkan dari dalam rumah terdengar suara yang sangat kuat. Berkata ‘Umar sambil memegang tangan ‘Abd al-Rahman: “Tahukah kamu rumah siapa ini?”

Abdul al-Rahman menjawab: “Tidak.” ‘Umar berkata: “Ini adalah rumah Rubi‘ah bin Umayyah bin Khalaf, saat ini mereka sedang minum arak, bagaimana pendapat mu?”

Abdul Rahman berkata: “Aku fikir, kita sekarang ini telah mengejar sesuatu yang dilarang oleh Allah. Bukankah Allah telah berfirman: “…dan janganlah kamu mengintip …” dan kita telah mengintip mereka. Setelah mendengar perkataan beliau, Umar pergi dan meninggalkan mereka. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq diteliti oleh Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktabah al-Islami, 10/231, riwayat no: 18943).

ADAKAH PENGECUALIAN KE ATAS LARANGAN MEMERIKSA DAN MENGINTIP ITU ?

Namun di sana, ada pengecualian ke atas larangan pemeriksaan dan pengintipan ini. Perkara ini telah dinyatakan oleh Dr Zaharuddin Abdul Rahman sebagai disertakan di bawah.

Persoalan sekarang adalah; adakah mengintip, menyelidik serta menyerbu premis peribadi dan bilik hotel harus dilakukan?. Jawab ringkasnya; walaupun seseorang tidak dibenarkan mengintip kesalahan dan aurat orang lain, tetapi jika ‘ghalib zhon’ (besar kemungkinan) seseorang cuba menyembunyikan sesuatu maksiat atau jenayah yang boleh memudaratkan ramai orang (seperti yang melibatkan orang lain, seperti menculik, cubaan membunuh dan sebagainya) tetapi dalam masa yang sama terzahir juga tanda-tanda kejahatan dengan jelas atau berdasarkan laporan yang boleh dipercayai benarnya, maka hukum larangan menyelidik, mengintai dan menyerbu mungkin berubah dari haram kepada harus malah wajib dalam keadaan tertentu berdasarkan tahap maslahat yang disasarkan (Fiqh Ad-Dakwah Ila Allah, Syeikh Abd Rahman Hassan Al-Habannakah, 2/242 dengan pindaan dan tambahan). Antara bentuk yang boleh mengharuskannya adalah seperti :-

a- Terdengar suara orang menjerit meminta pertolongan dalam sebuah rumah tertutup yang diyakini terdapat mangsa sedang bergelut dengan penjahat di dalamnya.

b- Terkeluar bauan arak yang amat kuat dari sebuah rumah orang Islam serta ramai pula tetamunya (persis sebuah majlis arak dan seks beramai).

c- Terlihat dengan jelas si lelaki membawa wanita yang diyakini bukan isterinya berdua-duan, berpelukan dan berpegangan tangan dengan cara yang diketahui bukan cara sang suami dengan isteri.

d- Berdua-duaan lelaki dan wanita yang diyakini bukan mahram di tepi-tepi tasik atau di dalam bilik kuliah di Universiti pada jam 2 pagi.

e- Melakukan maksiat secara bersembunyi di dalam kereta tetapi di lakukan tempat awam yang gelap.

Maka dalam keadaan di atas, adalah HARUS untuk meninjau dan memeriksa, sebagai mengambil hazar (jalan hati-hati) dari terlewat bertindak sehingga berlakunya maksiat atau jenayah.Malah HARUS juga untuk MENGETUK, memeriksa rumah dan bilik hotel seseorang jika terdapat laporan yang boleh dipercayai tentang ia melakukan jenayah atau maksiat di dalamnya terutamanya apabila terzahir sehingga keluar bunyi jeritan minta tolong, bauan arak yang haram dan sepertinya (Rujuk Al-Ahkam Al-Sultaniyah, hlm 218 ; At-Tasryi’ Al-Jina’ie, 1/504 dengan sedikit tambahan dan pindaan ; Asna Al-Matalib, 4/180 ; Ihya Ulumiddin, 5/36

Sekian, salinan dari Dr Zaharuddin Abdur Rahman. Beliau juga sebenarnya memberikan pandangan di dalam membetulkan ‘tatacara’; yang boleh dibaca ditempatnya.

KESIMPULAN

Saya secara peribadi, boleh bersetuju, malah kemungkinan juga akan turut menyokong, jika apa yang dituntut oleh G25 adalah mengemaskinikan mekanisma atau teknikal penangkapan khalwat. Tapi, apa yang mereka tuntut adalah memansukhkan undang-undang khalwat, dalam ertikata memansukhkan pengharaman khalwat. Tidak dinafikan juga, secara tidak langsung ia boleh bermaksud, mengharuskan khalwat secara halus. Sekurang-kurangnya, ia membuka pintu kepada perbuatan khalwat dan seterusnya pengzinaan. Ini, sama sekali tidak boleh disokong…

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment