Sekilas Renungan

Gosip: Like, Share & Comment…

Iklan

Ada orang kata, bergossip itu adalah suatu nikmat. Lebih nikmat dari perbuatan menge’teh’ atau me’ngopi’ bagi kaum lelaki. Cuma, menge’teh’ atau me’ngopi’ itu, hukum asalnya adalah harus. Kecualilah, agenda menggosip dimasukkan ke dalam dalam aturcara menge’teh’ atau me’ngopi’ itu tadi.

Secawan kopi atau teh yang panas, cepat menjadi suam atau sejuk. Tetapi, bagi secawan gossip, panasnya lama. Lambat untuk menjadi suam atau sejuk. Apatah lagi, jika ianya adalah seperiuk gossip. Lebih-lebih lagi, seperiuk gossip itu tadi, di’kuali’kan pula. Maka akan bertambahlah kepanasan gossip itu, apabila ianya digoreng di dalam kuali yang panas.

Gossip ini ada banyak dunianya. Gossip dalam dunia hiburan. Gossip dalam kancah pilitik. Gossip dalam dunia perniagaan; dan lain-lain. Ada masanya, semua jenis gossip ini, tergabung menjadi satu.

Dalam semua dunia itu, gossip sesuatu perkara yang digunakan secara kejam. Sememangnya begitu. Mereka yang tiada jiwa kejam, pendendam dan seumpamanya; atau dalam sebutan yang lebih jelas, beriman; tidak akan menggunakan senjata gossip. Tidak kiralah, di dalam dunia gosip yang mana satu pun. Dalam erti kata lain, mereka yang baik, tidak akan menggunakan senjata gossip ini kerana selalunya ia membawa akibat yang sangat kejam. Boleh juga disebut, orang yang menggosip adalah seorang yang kejam dan zalim. Sebaliknya, orang yang digosip akan menjadi mangsa kezaliman.

Menurut pemerhatian saya, di antara gosip dalam dunia hiburan dan politik, maka gosip dalam dunia politik jauh lebih kejam dari letusan gosip dalam dunia hiburan. Mereka yang berada di dunia politik, amat dekat dengan kuasa untuk merealisasikan peperangan gosip mereka, berbanding dengan mereka yang berada di dalam dunia hiburan.

Pada pendapat saya, gosip ada 3 jenis. Gosip, di atas perkara yang benar. Kedua; gosip, di atas perkara bohong atau rekaan semata-mata. Dan ketiga; gosip di atas perkara benar, namun disadur atau dibancuh dengan pembohongan.

Gosip dari jenis yang pertama dan kedua, mudah untuk dikesan. Mudah pulalah dihindari dan dijauhi. Namun gosip dari jenis yang ketiga adalah amat berbahaya kerana ia selalunya, diyakini sebagai kebenaran. Malah, gosip jenis ini, perlu kepada kemahiran yang tinggi untuk melakukannya.

Gosip yang pertama, juga dipanggil ‘ghibah’ di dalam Islam. Dalam ertikata lain, mengumpat. Manakala, gosip jenis kedua dan ketiga, dipanggil buhtan. Sinonim juga dengan istilah namimah. Maknanya, berdosa dan wajib dijauhi. Walaupun, di sana ada beberapa keadaan dibenarkan mengumpat sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ghazali, Nawawi dan sebagainya; namun jika ia dilakukan di dalam format gosip, ia tetap berdosa.

Dulu, gosip selalunya dilakukan di dalam jarak dekat. Anggotanya bertemu di dalam rumah, di kedai kopi dan seumpamanya. Namun sekarang, berlakunya gosip jarak jauh dan dalam jumlah keanggotaan yang jauh lebih ramai. Dulu, gosip hanya dilakukan oleh sekumpulan kecil ahli kelab. Sekarang, gosip boleh melibatkan ratusan ribu penyertaan. Membawa makna, boleh menghasilkan,mkeuntungan dosa yang amat besar.

Facebook, tweeter, instagram dan lain-lain; hari ini, dijadikan medium gosip yang amat selesa kerana anggota gosip itu lebih mampu melindungi diri mereka. Mereka boleh melemparkan bom-bom gosip mereka, tanpa diri mereka dikenali. Mereka lebih bertuah dari Abdullah bin Ubay bin Salul, pengetua gosip di zaman Rasul Allah s.a.w yang kini sudah menjadi terkenal. Penggosip hari ini, sudah boleh menjalankan kerja-kerja gosipnya dengan menyembunyikan dirinya dengan nama-nama palsu dan gambar-gambar yang palsu dan menjalankan kerja-kerja gosip mereka dengan rasa lebih selamat.

Melibatkan diri, ke dalam kerja-kerja gosip ini amat mudah, semudah menekan butang ‘share’ dan ‘like’. Suka diingatkan bahawa; menekan kedua butang ini pada mana-mana status di facebook yang bersifat gosip, boleh meletakkan kita bersama dengan Abdullah bin Ubay bin Salul di neraka, wal iyazu billah.

Ada pun ruang ‘comment’, bergantung. Jika apa yang ditulis berupa nasihat yang baik, maka ia boleh sahaja menghasilkan pahala. Namun, jika ia berupa mengesahkan, menyokong, menambah atau memanjangkan gosip, maka dosanya akan lebih besar dari menekan butang ‘like’ dan ‘share’…

Anda, boleh ‘like’ dan ‘share’ tulisan ini kerana ia bukan gosip !!!

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment