Umum

Di Antara Sebab Kenapa Allah Mendatangkan Musibah (Siri 2/2)

Di Antara Sebab Kenapa Allah Mendatangkan Musibah (Siri 2/2)
Iklan

Ke Bahagian 1/2 KLIK SINI

2. Musibah kerana faktor keimanan

2.1. Ujian di atas kekuatan Iman.

Di Antara Sebab Kenapa Allah Mendatangkan Musibah (Siri 2/2)

gambar hiasan

Di sana ada sebuah hadis Imam Turmuziyang meriwayatkan dari Saad bin Abi Waqas (r.a) yang berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah (s.a.w): “Manusia manakah yang lebih besar atau lebih kuat ujian (bala) untuknya? Nabi bersabda: “Nabi-Nabi, kemudian seumpama dan seumpama. Seseorang itu diuji mengikut kekuatan iman atau agamanya, jika imannya kuat, maka besarlah bala yang akan mengujinya. Jika agama atau imannya nipis, maka ringanlah ujiannya.”

Syeikh Mohd Soleh al-Munjid, di dalam mengulas hadis di atas menyatakan bahawa: “Dari sebab-sebab musibah itu berlaku adalah kerana dosa. Namun dosa bukanlah satu-satunya sebab. Sesungguhnya Allah telah menguji sesetengah hamba-hambanya yang tidak berdosa, untuk mendapat pahala dari kesabaran dan mengangkat dengan demikian itu (bala yang ditimpakan) akan darjat mereka. Sebagaimana Allah menguji kanak-kanak, sedangkan mereka tiada berdosa.

2.4. Pendahuluan kepada nikmat yang hendak dikurniakan oleh Allah.

Firman Allah (s.w.t);

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُس وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِين

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

[Surat Al-Baqara : 155]

As-Sa’adi, dalam mengulas ayat di atas mengatakan bahawa adapun orang yang meredhai Allah dengan kesabaran ketika berlakunya musibah ini, menahan dirinya dari rasa tidak paushati atau kemarahan atas ujian yang ditimpakan dengan perkataan atau perbuatan, mengharapkan pahalanya di sisi Allah, mengetahui bahawa apa yang diterimanya dari pahala melalui kesabaran itu lebih besar dari musibah yang terjadi, bahkan musibah itu sebenarnya adalah nikmat kerana ia menjadi jalan untuk mencapai kebaikkan dan mencapai manfaat daripadanya. Maka sesiapa yang merelai apa sahaja yang Allah timpakan ke atasnya, maka dia memenangi pahala dan ganjaran yang besar.

Al-Baghawi pula di dalam mengulas ayat ini membekalkan sebuah hadis dari Abi Sinan katanya: Aku mengebumikan anakku, sedangkan Abu Talhah al-Khaulani berada ditepi kubur. Maka ketika aku hendak keluar dari liang kubur, dia menghulurkan tangannya membantu dan berkata kepada ku: “Mari aku gembirakan kamu. Ad-Dhahhak bin Azrab menceritakan kepadaku, dari Abi Musa al-Asya’ari katanya: Bersabda Rasulullah (s.a.w): Apabila seorang anak dari kalangan manusia mati, Allah bertanya kepada para malaikat: Adakah kamu sudah menggengam nyawa seorang anak dari kalangan hamba Ku? Malaikat berkata: Ya. Allah bertanya lagi: Adakah kamu sudah mengenggam nyawa `buah hati’ kepada hamba Ku? Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya: Apa kata hamba Ku itu? Malaikat menjawab: Mereka beristirja’ dan memuji Mu. Allah berfirman: Binakan rumah baginya disyurga dan gelarkannya rumah puji-pujian.”

Kesimpulan

Mendatangkan musibah, bukan bermakna Allah murka. Mengurniakan nikmat, bukan semestinya bermakna Allah redha. Ia bergantung kepada siapa yang menerima nikmat atau musibah itu.

Jika musibah menimpa ke atas mereka yang bertaqwa, itu adalah ujian untuk menambah pahala dan menaikkan darjat. Sebaliknya, jika musibah menimpa ke atas mereka yang engkar dan degil, itu adalah azab yang Allah datangkan untuk tujuan menegur dan menyedarkan.

Jika nikmat diberikan kepada mereka yang bertaqwa, itu adalah ganjaran dan tanda redha Allah. Sebaliknya, jika nikmat diberikan kepada mereka yang degil dan engkar, itu adalah `istidraj’ dari Allah.

Apa yang penting, bukan ditipa musibah atau dikurniakan nikmat, tetapi apa yang sebenar-benarnya penting adalah memastikan diri kita berada di atas jalan yang benar dan diredhai Allah…

Di Antara Sebab Kenapa Allah Mendatangkan Musibah (Siri 2/2)

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment