Tafsir Al-Quran

Surah Maryam Ayat 1 hingga 3

Surah Maryam Ayat 1 hingga 3
Surah Maryam Ayat 1 hingga 3

Surah Maryam Ayat 1 hingga 3

Ayat 1

كهيعص

Maksudnya: “Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad.”

Imam al-Baghawi, di dalam menghurai huruf-huruf yang terpotong-potong pada ayat satu di atas, telah menyalin perkataan Ibnu Abbas (r.a) yang menyebut bahawa: “Ia adalah nama dari nama-nama Allah ta’ala. Dan dia juga menyalin pula perkataan Qatadah yang menyebut: “Ia adalah nama dari nama-nama al-Quran. Dan kemudiannya Ibnu Kathir menyebut bahawa ada juga para ulamak yang mengatakan bahawa Ia adalah nama bagi surah; atau, ia adalah sumpah; yang Allah telah bersumpah dengannya.

Al-Baghawi juga kemudiannya ada menyalin riwayat dari Sa’id bin Jubair, dari Ibnu Abbas pada firmanNya (كهيعص), telah berkata: “Huruf `كـ’ (kaf) adalah dari perkataan `كريم’ yang bermaksud Tuhan yang mempunyai sifat kemuliaan dan `كبير’ yang bermaksud Tuhan yang mempunyai sifat kebesaran. Huruf `ـهـ’ (ha’) dari perkataan `هاد’ yang bermaksud Tuhan yang memberikan petunjuk. Huruf `ـيـ’ (ya’) dari perkataan `رحيم’ yang bermaksud Tuhan yang mempunyai sifat pengasih. Huruf `ـعـ’ (`ain) dari perkataan `عليم’ yang bermaksud Tuhan yang bersifat mengetahui dan `عظيم’ yang bermaksud Tuhan yang mempunyai sifat keagongan. Dan huruf `ـص’ (sad) dari perkataan `الصادق’ yang bermaksud Tuhan yang bersifat membenarkan janji-janjiNya.

Al-Baghawi juga menyalin perkataan al-Kalbi yang mengatakan bahawa huruf `kaf’ (ك) adalah dari perkataan `كاف’ (kafin) yang membawa makna Tuhan yang mencukupkan. Huruf `ha’ (ه) adalah dari perkataan `هاد’ (hadin) yang membawa makna Tuhan yang memberikan petunjuk. Huruf `ya’ (ى) adalah dari perkataan `يده’ yang membawa makna TanganNYa di atas tangan-tangan mereka. Huruf `ain’ (ع) adalah dari perkataan `عالم’ yang membawa makna Tuhan yang mengetahui alam yang diciptakannya. Huruf `sad’ (ص) adalah dari perkataan `صادق’ yang membawa makna Tuhan yang benar pada janji-janjiNya.

Ayat 2

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا

Maksudnya: “(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.”

Menurut Imam as-Sa’adi di dalam ayat di atas, Allah subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa Dia akan menceritakan ke atas Nabi Muhammad (s.a.w) berkenaan Nabi Zakaria alaihis Salam dan juga akan memperincikannya, sehinggalah Nabi Muhammad (s.a.w) dapat mengenal keadaan NabiNya ini; dan mengetahui peninggalan Nabi Zakarian (a.s.) yang baik dan kelebihannya yang indah; kerana sesungguhnya pada kisahnya ada pengajaran bagi orang-orang yang mahu mengambil pengajaran.

Ibnu Kasir pula ada menegaskan bahawa adalah Nabi Zakaria alaihis Salam, seorang nabi yang agong dari kalangan nabi-nabi Bani Israel. Ibnu Abbas juga mencatitkan bahawa ada disebutkan di dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi Zakaria alaihis Salam itu, seorang ahli pertukangan.

Ayat 3

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا

Maksudnya: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara sembunyi.”

Al-Baghawi menyebut tempat, di mana Nabi Zakaria alaihis Salam melakukan perbuatan berdoa ini, iaitulah di mihrab.

At-Tobari pula membawakan riwayat yang menyatakan tujuan Nabi Zakaria (a.s) berdoa secara perlahan atau sembunyi itu adalah kerana mahu mengelakkan dirinya daripada riyak. Riwayatnya adalah sebagaimana berikut;

حدثنا القاسم، قال: ثنا الحسين، قال: ثني حجاج، عن ابن جريج، قوله (إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا) قال: لا يريد رياء.

Ibnu Kasir pula ada menyalin perkataan sebahagian mufassirin yang menyebutkan bahawa Nabi Zakaria (a.s) merahsiakan doanya kerana, dia masih berdoa untuk mendapat anak, walaupun usianya sudah tua. Ini disebutkan oleh al-Mawardi. Ibnu Kathir menulis;

قال بعض المفسرين: إنما أخفى دعاءه، لئلا ينسب في طلب الولد إلى الرعونة لكبره. حكاه الماوردي.

Berkata yang lain-lain: Dia menyembunyikannya kerana lebih disukai oleh Allah. Sebagaimana kata Qatadah di dalam ayat ini: Sesungguhnya Allah mengetahui hati yang bersih dan mendengar suara yang tersembunyi.

Berkata setengah ulamak salaf: Dia, nabi Zakaria (a.s), bangun (solat) di malam hari, sedangkan tidur sahabat-sahabatnya, maka jadilah dia menghiburkan Tuhannya, berkata secara tersembunyi: “Ya Allah, ya Allah, ya Allah..” Maka menjawab Allah: “Labbaik, labbaik, labbaik…”

BERSAMBUNG KE AYAT 3 HINGGA 4 – KLIK SINI

Surah Maryam Ayat 1 hingga 3

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment