Sekilas Renungan

Upload Gambar Selfie Menyusukan Anak ?

Iklan

Amalan menyusukan anak dengan susu sendiri oleh ibunya adalah sesuatu yang baik dan amat digalakan. Amalan ini, sememangnya menimbulkan masalah, apabila si anak meragam mahu disusukan di tengah orang ramai. Namun, keadaan yang tersebut, bukanlah penghalang untuk si ibu, menyusukan anaknya, selama mana si ibu memelihara dan menjaga maruah dirinya. Ini dapat dicapai dengan mengikuti langkah-langkah yang akan dinyatakan selanjutnya.

Persoalan yang paling penting adalah memilih tempat yang paling strategik dalam situasi semasa. Carilah ruang yang mampu untuk melindungi diri kita dan apa yang kita sedang lakukan dari pandangan lelaki ajnabi. Menghadapkan diri ke dinding misalnya; jika itu dapat ‘menyembunyikan pekerjaan’ menyusukan anak itu. Jika kita ada kereta dan berdekatan atau memungkinkan kita pergi kepadanya, maka menyusukan anak di dalam kenderaan kita itu, lebih baik. Kita boleh menggunakan ahli keluarga atau rakan perempuan yang ada bersama kita untuk menjadi dinding atau membataskan pandangan lelaki ajnabi terhadap kita. Singkatkan pekerjaan itu, sekira-kira bayi kita itu, berhenti menangis kerana tangisannya itulah yang menerbitkan keperluan untuk menyusukannya pada waktu itu. Apa yang juga penting adalah pakaian yang dapat membantu si ibu melakukan proses menyusukan anak dengan penjagaan aurat yang sempurna. Tudung yang labuh dan beberapa ciri lain yang relevan mungkin dapat melindungi seseorang wanita yang sedang melakukan pekerjaan menyusukan anaknya dari pandangan lelaki ajnabi.

Ada pun perbuatan mengambil gambar kita yang sedang menyusukan anak, kemudian di’post’kan pula di ruang-ruang media yang boleh ditonton oleh orang ramai, seperti di facebook, tweeter, instagram dan sebagainya; bukan sahaja satu perbuatan yang tiada faedahnya, tetapi juga merupakan suatu perbuatan yang menyimpang jauh dari tujuan asal menyusukan anak di khlayak ramai, sebagaimana yang telah disebut di atas. Aksi seorang wanita, menyusukan anaknya, bukanlah suatu aksi untuk diiklan atau dipamerkan. Seorang perempuan yang menyiarkan aksinya menyusukan anaknya, seolah-olah menjemput atau memanggil-manggil lelaki lain untuk turut ‘menyusu’ darinya, terutamanya bagi lelaki-lelaki yang hatinya berpenyakit, walau pun bukan itu yang dimaksudkan.

Menyusukan anak dikhalayak ramai bukanlah dilakukan kerana suka-suka dan ia hanya dilakukan apabila sudah tidak boleh dielakkan. Itu pun di dalam cara yang cukup beradab dan mengusahakan agar aksi menyusukan bayi itu terlindung dari pandangan lelaki yang ajnabi.

Perbuatan menyusukan anak, kemudian diposkan gambarnya ke media-media yang tersebut adalah perbuatan yang boleh merosakan maruah diri seorang wanita. Apa yang penting di dalam meninggikan maruah seorang wanita itu adalah sifat malunya. Sifat malu ini juga perlu bagi lelaki, tetapi kaum wanita amat lebih memerlukannya.

Bila sifat malu sudah hilang, maka selanjutnya akan hilanglah pula maruah dirinya.

Ini ada disebut dalam sebuah hadis Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Apabila kamu tidak malu, lakukanlah apa saja yang kamu inginkan,” (Hadis riwayat Bukhari dalam Kitab Ahadisul Anbiya, Hadis nombor 3225).

Ada tiga perkara yang dapat kita fahamkan dari sabda Rasulullah (s.a.w) di atas. Pertama, adalah ancaman. “Perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Quran, Fussilat: 40).

Kedua, perkataan Nabi (s.aw) itu memberitakan tentang keadaan orang yang tidak ada sifat malu. Mereka boleh melakukan apa sahaja kerana tidak ada landasan akhlak baginya lagi. Tidak ada aturan dalam hidupnya.

Ketiga, hadis ini berisi perintah Rasulullah (s.a.w) kepada kita untuk bersikap wara’. Jadi, kita mengambil makna yang tersirat bahwa Rasulullah (s.a.w) berkata, apakah kamu tidak malu melakukannya? Kalau malu, jangan buat!

Agama Islam datang dengan memberikan kemuliaan kepada wanita, memelihara dan menjaganya dari terkaman serigala dari kalangan manusia, sebagaimana Islam menjaga hak-hak wanita, mengangkat hakikat dan martabatnya.

Jadi, saya menasihatkan adik-adik dan anak perempuan saya diluar sana, peliharalah maruah diri kamu semua; kerana maruah diri adalah harta yang amat berharga bagi seorang wanita. Jangan sampai, ada bapa-bapa budak di luar sana yang ‘mengidam’ sangat hendak menyusu dengan kita…

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment