Uncategorized

Surah al-Baqarah Ayat 6 hingga 7

Iklan
Selepas Allah taala menyebut sifat-sifat orang-orang yang beriman pada ayat-ayat sebelum, mengiringinya dengan menyebut sifat-sifat orang-orang yang kafir untuk menzahirkan perbezaan yang terang di antara keduanya atas jalan al-Quran pada perbandingan di antara kebaikan dan kejahatan dan perbedaan di antara ahli kebahagiaan dan ahli kecelakaan.

إن الذين كفروا…

Iaitulah, Orang-orang yang menyangkal ayat-ayat Allah serta mendustai risalah Nabi Muhammad.

سواء عليهم…

Maksudnya, sama pada mereka…

أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ

Sama sahaja, sama ada engkau berikan peringatan kepada mereka, wahai Muhammad dari azab Allah dan mempertakutkan mereka darinya, atau engkau tidak memberi amaran kepada mereka…

لَا يُؤْمِنُونَ

Mereka tidak akan membenarkan dengan apa yang engkau bawakan kepada mereka dengannya. Maka janganlah engkau harapkan mereka itu beriman, dan jangan ada dalam hati engkau rasa sesal terhadap mereka. Di sini, hiburan bagi Nabi sallallahu alaihiwasallam tentang penolakan kaumnya terhadapnya.

Kemudian Allah taala menerangkan punca yang menjadi sebab ketiadaan iman, firmanNya;

خَتَمَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ

Allah telah menutup mati ke atas hati-hati mereka sehingga tidak masuk ke dalamnya cahaya dan tidak terbit padanya iman. Berkata para penafsir: (الختم) adalah (التغطية) yang membawa makna penutupan, penyembunyian dan penyelubungan; dan juga (الطبع) karektor atau perangai. Dan yang demikian itu kerana apabila telah banyak ke atasnya dosa terpadamlah cahaya ilmu padanya. Maka tidak adalah laluan iman kepadanya dan kekufuran itu, tiada jalan keluar darinya. Sebagaimana firman Allah taala;
[بل طبع الله عليها بكفرهم]
Maknanya: “Bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka.”

وَعَلَىٰ سَمْعِهِمْ ۖ وَعَلَىٰ أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ ۖ

Dan ke atas pendengaran-pendengaran mereka dan penglihatan-penglihatan mereka penutup. Maka mereka tidak dapat melihat petunjuk. Tidak dapat mendengar, memahami dan memikirkannya. Sebab pendengaran dan penglihatan mereka seolah-olah terhalang oleh dinding yang tebal. Kerana yang demikian itu, mereka nampak kebenaran tetapi mereka tidak mengikutinya. Mereka mendengarnya tetapi tidak mengambilnya atau menolongnya. Berkata Abu Hayyan: Allah menyerupakan hati-hati mereka yang engkar menerima kebenaran, pendengaran mereka yang tidak mahu menyahut panggilan kejayaan, dan penglihatan mereka yang menghalang dari melihat cahaya hidayah; dengan tempayan yang tertutup atasnya, Yang terbungkus dengan penutup yang menghalang sampai kepadanya apa yang dapat memulihkannya.

وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Bagi mereka, di akhirat nanti azab yang pedih.
_____________________________________
HISHAMUDDIN BIN ABDUL AZIZ
0173498466
Maybank – 12168020073576
Bank Islam Malaysia Berhad – 164799034703
Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment