Tafsir Al-Quran

Al-Baqarah Ayat 1 Siri 2

الم

Ahlit Ta’wil berbeza pendapat tentang huruf-huruf yang terdapat di awalan sebahagian surah.

Pendapat Pertama

Berkata Amirusy-Sya’bi, Sufyaan as-Sauriy dan jamaah daripada ahli-ahli hadis: Ia adalah rahsia-rahsia Allah di dalam al-Quran, dan bagi Allah ada rahsia di dalam setiap kitab dari kitab-kitab Nya. Maka ia adalah dari perkara kesamaran yang hanya di sisi Allah ilmunya. Tidak wajib berbicara tentangnya, tetapi beriman dengannya dan membacanya sebagai mana ia didatangkan. Diriwayatkan perkataan ini dari Abi Bakar as-Siddiq dan Ali bin Abi Talib radhiallahu anhuma. Abul Latih as-Samarqandi menyebutkan dari Umar, Usman dan Ibnu Mas’ud bahawasanya mereka berkata: Huruf-huruf yang terputus-putus adalah dari perkara yang disembunyikan; yang tidak ditafsirkan. Berkata Abu Hatim: Tiada kita dapati huruf-huruf yang terputus-putus di dalam al-Quran melainkan pada awalan surah-surah. Kita tidak mengetahui apa yang Allah Azza wa Jalla kehendaki dengannya. Aku berkata: Dan dari pengertian ini, apa yang disebut oleh Abu Bakar Al Anbari:

حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ الْحُبَابِ حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي طَالِبٍ حَدَّثَنَا أَبُو الْمُنْذِرِ الْوَاسِطِيُّ عَنْ مَالِكِ بْنِ مِغْوَلٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ مَسْرُوقٍ عَنِ الرَّبِيعِ بْنِ خُثَيْمٍ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَنْزَلَ هَذَا الْقُرْآنَ فَاسْتَأْثَرَ مِنْهُ بِعِلْمِ مَا شَاءَ، وَأَطْلَعَكُمْ عَلَى مَا شَاءَ، فَأَمَّا مَا اسْتَأْثَرَ بِهِ لِنَفْسِهِ فَلَسْتُمْ بِنَائِلِيهِ فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهُ، وَأَمَّا الَّذِي أَطْلَعَكُمْ عَلَيْهِ فَهُوَ الَّذِي تَسْأَلُونَ عَنْهُ وَتُخْبَرُونَ بِهِ، وَمَا بِكُلِ الْقُرْآنِ تَعْلَمُونَ، وَلَا بِكُلِ مَا تَعْلَمُونَ تَعْمَلُونَ.

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan al-Quran ini, maka dia menyimpan (menyembunyikan) darinya ilmunya, apa yang dikehendaki. Dia memperlihatkan atau membuka apa yang Dia kehendaki. Adapun apa yang Dia sembunyikan dengannya untuk dirinya, maka tidaklah kamu akan dapat memperolehinya dan janganlah bertanya tentangnya. Adapun apa yang Dia perlihatkan, itulah yang kamu perlu bertanya tentangnya dan disampaikan dengannya. Tidaklah semua dari al-Quran itu, kamu mengetahuinya. Kamu tidak akan beramal dengan semua yang kamu ketahui. Berkata Abu Bakar: Ini, menjelaskan bahawa huruf-huruf yang terputus-putus dari al-Quran disembunyikan maknanya dari seluruh alam sebagai ujian dari Allah Azza wa Jalla. Sesiapa yang beriman dengannya mendapat pahala, keuntungan dan kebahagiaan.

حَدَّثَنَا أَبُو يُوسُفَ بْنُ يَعْقُوبَ الْقَاضِي حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ أَبِي بَكْرٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ عَنْ سُفْيَانَ عَنِ الْأَعْمَشِ عَنْ عُمَارَةَ عَنْ حُرَيْثِ بْنِ ظُهَيْرٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: مَا آمَنَ مُؤْمِنٌ أَفْضَلُ مِنْ إِيمَانٍ بغيب، ثم قرأ: ﴿الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ﴾ [البقرة: ٣].

Tidak beriman seseorang mukmin itu yang lebih Afdhal dari beriman dengan ghaib, kemudian dia membaca:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ

[البقرة: ٣]

Aku berkata: Perkataan ini adalah untuk perkara-perkara kesamaran (mutasyabih) dan hukumnya. Ia sahih atas apa yang akan didatangkan keterangannya pada surah Ali Imran nanti, insya Allah.

Tangguh – 6 MAC 2021…..

Pendapat Kedua

Dan berkata sekumpulan dari kalangan ulama-ulama besar: Bahkan wajib berbicara tentangnya, mencari kemanfaatan yang berada dibawahnya dan pengertian-pengertian boleh diambil daripadanya. Mereka berselisih pendapat tentang hal itu kepada beberapa pendapat. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Ali juga: Bahawasanya huruf-huruf yang terputus-putus di dalam al-Quran adalah nama Allah yang Agung, kecuali kami tidak mengetahui pembentukan, penyusunan atau darinya. Berkata Qutrub, al-Farra’ dan selain dari mereka berdua: Ini adalah rujukan kepada huruf-huruf hija-iyyah, yang dengannya Allah beritahu kepada orang-orang Arab ketika Allah menghadapi tentangan mereka terhadap al-Quran bahawasanya al-Quran itu adalah sinonim dengan huruf-huruf yang darinya dibina tutur kata mereka, menjadikan hikmah mereka lemah dalam menentang al-Quran. Berkata Qutrub: Mereka lari menghindarkan diri ketika mendengar al-Quran, maka ketika mereka mendengar:

الم المص

Mereka merasa pelik dengan ungkapan ini. Semasa mereka diam mendengarkannya sampailah kepada mereka yang serasi terakam pada pendengaran, telinga dan hujah mereka. Satu golongan berkata: Diriwayatkan bahawa pihak musyrikin, ketika menghindari dari mendengar al-Quran di Makkah, mereka berkata:

وَقَالَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ لَا تَسۡمَعُوا۟ لِهَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانِ وَٱلۡغَوۡا۟ فِیهِ

Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!” Jadi, (huruf-huruf yang terputus-putus ini) diturunkan bagi menimbulkan rasa pelik atau asing terhadap mereka agar mereka membuka telinga mereka dan mendengar al-Quran. Berkata satu jamaah: Ia adalah huruf-huruf yang menunjukkan kata nama yang telah diambil daripadanya dan dihilangkan bakinya. Sebagai mana kata Ibnu Abbas dan selainnya: Huruf Alif dari perkataan Allah, huruf Lam dari perkataan Jibril dan huruf Mim dari perkataan Muhammad. Dikatakan: Huruf Alif pembukaan dari perkataan Allah, huruf Lam pembukaan dari perkataan Latif dan huruf Mim pembukaan dari perkataan Majid. Abudh-Dhuha meriwayatkan daripada Ibnu Abbas tentang firman Allahu Subhanahu wa Ta’ala, tentang, الم dia berkata;

أنا الله أعلم…

Maksudnya: “Akulah Allah yang lebih mengetahui”. Tentang…

الر

Membawa maksud;

انا الله ارى

Maksudnya: “Akulah Allah yang maha melihat”.

Berkata Zaid bin Aslam: Ia adalah nama-nama bagi surah-surah. Berkata al-Kalbiy: Ia adalah persumpahan Allahu Subhanahu wa Ta’ala untuk memuliakannya dan memberikan kelebihan dan ia adalah dari nama-namaNya.
Sebahagian ulama menolak qaul ini. Kata mereka: Tidak benar bahawa ianya adalah sumpah kerana sumpah terikat dengan kata-kata sumpah seperti:

إن قد لقد ما

Tidak ditemui di sini, kata-kata sumpah sebagai mana yang disebutkan di atas, maka tidaklah boleh ia menjadi sumpah.
Dan jawapannya, boleh dikatakan: bahawa ia adalah sumpah, dengan melihat kepada firman-Nya Ta’ala:

لا ريب فيه

Sekiranya seseorang bersumpah maka dia berkata:

وَاللَّهِ هَذَا الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ

Itu akan lebih tepat, dan jadilah kata لا itu jawapan kepada sumpah. Itu membuktikan perkataan al-Kalbiy dan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas benar dan sahih. Maka sesungguhnya dikatakan: Apakah hikmah sumpah dari Tuhan? Dikatakan: Al-Quran diturunkan dengan Bahasa Arab, dan orang-orang Arab apabila sebahagian mereka menghendaki menegaskan kata-kata mereka, mereka bersumpah di atas kata-kata mereka. Dan Allahu Subhanahu wa Ta’ala menghendaki menegaskan ke atas mereka hujah, maka Dia bersumpah bahawa al-Quran adalah daripada sisinya.

Berkata sebahagian daripada mereka (para ulama): الم, maknanya;

أَنْزَلْتُ عَلَيْكَ هَذَا الْكِتَابَ مِنَ اللَّوْحِ الْمَحْفُوظِ

Kemudian, ada pula para ulama yang mengatakan bahawa huruf-huruf yang terputus-putus itu adalah nama dari nama-nama al-Quran. Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ali at-Tirmizi bahawasanya dia berkata: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyimpan seluruh apa yang ada di dalam surah itu dari hukum-hakam dan kisah-kisah di dalam huruf-huruf yang Dia menyebutnya di awalan-awalan beberapa surah. Tidak mengetahui tentang perkara itu selain Nabi. Kemudian dia menjelaskan yang demikian itu di dalam semua surah supaya orang dapat memahaminya.

[Q]

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz adalah seorang warga OKU. Sejak jatuh pada April 2020, keadaan ustaz bertambah uzur dari sebelumnya. Andai sudi menyumbang, salurkanlah ke no akaun 12168020073576 (Bank Islam Malaysia Berhad); atau no akaun 164799034703 (Maybank); atas nama Hishamuddin bin Abdul Aziz bagi membantu beliau sebagai warga OKU dalam usaha pengembangan ilmu² agama & lain² keperluan. [muiz@admin]

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment