Surah al-Baqarah dari surah-surah yang dimulakan dengan sebahagian huruf-huruf Hijaiyah. Kadang-kadang ia hanya terdiri daripada huruf tunggal, kadang-kadang ia tersusun daripada dua huruf, atau tiga, atau empat, atau lima. Surah-surah yang dimulakan dengan huruf tunggal adalah surah Saad, Qaf dan Nun. Surah-surah yang bermula dengan dua huruf, ada sembilan, iaitu; To Ha, Ya Sin, Ta Sin Mim, Ha Mim (pada enam surah; Ghafir, Fussilat, az-Zukhruf, al-Jasiyah dan al-Ahqaf. Surah-surah yang bermula dengan tiga huruf, 13 surah, iaitu; Alif Lam Mim pada enam surah (Al-Baqarah, Ali Imran, al-‘Ankabut, Ar-Ruum, Luqman dan As-Sajadah), Alif Lam Ra pada 5 surah (Surah Yunus, Hud, Yusuf, al-Hijr, Ibrahim) dan To Sin Mim pada dua surah (Asy-Syu’ara, al-Qasas). Di sana, ada 2 surah yang dimulakan dengan 4 huruf yang terpotong-potong; ar-Ra’d (Alif Lam Mim Ra) dan al-A’raf (Alif Lam Mim Sad). Dan dua surah juga yang dimulai dengan 5 huruf, iaitulah: Maryam (Kaf Ha Ya Ain Sad) dan Asy-Syura (Ha Mim Ain Sin Qaf). Jadi, jumlah keseluruhan surah-surah yang dimulai dengan huruf-huruf yang terputus-putus 29 surah. Perselisihan faham berlaku di kalangan ulama di dalam memberikan makna kepada huruf-huruf yang terputus-putus yang dibuka dengannya sebahagian surah-surah di dalam al-Quran. Ketidaksepakatan mereka, dapat diringkaskan ke dalam dua pendapat utama: Pendapat pertama melihat: Bahawa maksudnya atau maknanya, tidak diketahui. Ia adalah dari perkara-perkara kesamaran yang ilmunya hanya di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini adalah salah satu dari dua pendapat yang diambil oleh Ibnu Abbas, sebagai mana juga asy-Sya’bi, Sufyaan as-Sauriy dan selain daripada mereka, dari kalangan para ulama. Dan diriwayatkan dari Ibn Abbas dan dia berkata:
عجزت العلماء عن إدراكها
Dari Ali radhiallahu anhu bahawasanya dia berkata: “Sesungguhnya bagi setiap kitab itu ada intisarinya, dan intisari bagi kitab ini adalah huruf-huruf hijaiyahnya…”
Pada riwayat lain, dari asy-Sya’bi bahawasanya dia berkata:
سر الله فلا تطلبوه
Adapun pendapat yang kedua mengatakan bahawasanya makna atau maksud darinya diketahui. Ianya bukanlah dari perkara kesamaran yang Allah Subhanahu wa Ta’ala bersendirian dengan ilmunya. Mereka yang mendokong pendapat ini berbeza di antara mereka dalam menentukan makna huruf-huruf yang terputus-putus ini kepada qaul yang banyak.
Pertama: Bahawasanya huruf-huruf ini nama-nama bagi surah-surah dengan dalil perkataan Nabi sallallahu alaihi wa sallam:
من قرأ حم السجدة حفظ إلى أن يصبح…
Dalil bahawa beberapa surah dikenali dengan huruf-huruf yang terputus-putus.
Kedua: Dikatakan bahawa huruf-huruf ini datang sebagai titik atau noktah atau pemisah untuk menunjukkan akhir surah dan permulaan yang lain.
Ketiga: Dikatakan bahawa huruf-huruf yang terputus-putus ini, sebahagiannya dari nama-nama Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sebahagian yang lain daripada sifat-sifat Nya, الم seperti yang berasal dari;
أنا الله اعلم
Keempat: Dikatakan, bahawasanya ia adalah nama Allah yang Agung.
Kelima: Mungkin pendapat yang paling dekat dengan kebenaran adalah dikatakan: Huruf-huruf yang terputus-putus ini telah diletakkan pada pembukaan beberapa surah sebagai suatu pemberitahuan bahawa al-Quran ini, yang dengannya Allah menentang kaum musyrikin adalah dari jenis perkataan-perkataan yang tersusun dari huruf-huruf yang mereka bertutur dengannya, sedangkan mereka tidak mampu mengarang satu surah pun seperti al-Quran. Di samping itu, mendahulukan surah-surah dengan huruf-huruf yang terputus-putus ini bagi menarik perhatian orang-orang yang memalingkan diri dari mendengar al-Quran ketika dibacakan kepada mereka agar mereka jadi mendengar dan memikirkan, kerana pada awal pembacaan, dia mengeluarkan kata-kata yang tidak dikenali dalam ucapan mereka. Inilah yang menarik perhatian mereka untuk menyedari apa yang dikehendaki daripadanya. Mereka mendengarkan pertimbangan dan hujah yang mungkin menjadi sebab untuk mereka mendapat hidayah dan menerima kebenaran. Ini adalah ringkasan pendapat para ulama mengenai huruf-huruf yang terputus-putus yang dijadikan sebagai permulaan kepada beberapa surah di dalam al-Quran. Sesiapa yang menginginkan lebih dari itu, maka buatlah rujukan kepada – misalnya – kitab al-Itqan oleh as-Suyuti, al-Burhan oleh az-Zarkashi, dan Tafsir al-Alusi.
. . . . . . . . . . . . . . .
Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz adalah seorang warga OKU. Sejak jatuh pada April 2020, keadaan ustaz bertambah uzur dari sebelumnya. Andai sudi menyumbang, salurkanlah ke no akaun 12168020073576 (Bank Islam Malaysia Berhad); atau no akaun 164799034703 (Maybank); atas nama Hishamuddin bin Abdul Aziz bagi membantu beliau sebagai warga OKU dalam usaha pengembangan ilmu² agama & lain² keperluan. [muiz@admin]