Tafsir Surah al-Baqarah

Al-Baqarah Ayat 2

Ayat 2 (Frasa 1)

ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ

Artinya, kitab yang agung ini, adalah kitab yang berada di atas kebenaran, merangkumi apa yang tidak ada dalam kitab-kitab yang terdahulu dan kemudiannya yang luas ilmunya, dan nyata kebenarannya.

[I]

_______________

Berkata Ibnu Kaisan: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan sebelum surah al-Baqarah beberapa surah yang didustai oleh orang-orang musyrikun, kemudian menurunkan surah al-Baqarah justeru berfirman;

ذلك الكتاب

Maksudnya: Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan sebelum ini (sebelum surah al-Baqarah) diturunkan dengan tanpa kesangsian padanya.

[B]

. . . . . . . . . . . . . . .

Dikatakan bahawa ia merujuk kepada ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah. Dikatakan: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala ketika berfirman kepada nabi-Nya sallallahu alaihi wa sallam;

إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا

Sentiasalah Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam menunggu-nunggu untuk janji ini dipenuhi oleh Tuhannya Allah Azza wa Jalla. Ketika diturunkan ke atasnya di Madinah;

ذَلِكَ الْكِتَابُ

Itulah dia al-Kitab yang Aku telah janjikan untuk mewahyukannya kepada engkau semasa di Makkah dulu. Dikatakan: Sesungguhnya perkataan ذلك; menunjukkan kepada apa yang terdapat di dalam Taurat dan Injil dan الم; nama bagi al-Quran.

Kesimpulannya, ia membawa maksud: Itulah Kitab yang ditafsirkan dalam Taurat dan Injil. Maknanya, Taurat dan Injil mempersaksikan kebenarannya dan ia mengambil apa yang ada di dalam keduanya dan menambah padanya apa yang tidak ada di dalam keduanya.

وَقِيلَ: إِنَّ “ذلِكَ” إِشَارَةٌ إِلَى اللَّوْحِ الْمَحْفُوظِ.

Berkata al-Kisa-i: ذلك rujukan kepada al-Quran yang ada di langit dan belum diturunkan lagi. Dikatakan: Sesungguhnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berjanji kepada Ahli Kitab untuk menurunkan sebuah kitab kepada Muhammad sallallahu alaihi wa sallam, jadi ذلك itu menunjukkan kepada janji itu.

[Q]

. . . . . . . . . . . . . .

Ayat 2 (Frasa 2)

لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ

Tidak ada keraguan dengan cara apa pun, dan tiada keraguan padanya yang boleh membawa keperluan untuk menentangnya. Keyakinan datang, selepas menolak keraguan dan kesangsian, sedangkan kitab ini memuatkan ilmu atau pengetahuan yang pasti (yaqin) sekaligus menghilangkan keraguan dan kecurigaan. Inilah peraturan yang berguna. Allah Subhanahu wa Ta’ala membuat penafian dengan maksud menyampaikan pujian.

[I]

________________________

Bukti-bukti Saintifik

—————————————-

Dalam al-Asas fit Tafsir Syeikh Said Hawa berkata, “Dalam buku saya bertajuk ‘Ar-Rasul’ saya membuktikan bagaimana Allah menunaikan janjinya yang terdapat dalam ayat 53 surah Fussilat. Jika manusia melihat kepada segenap penjuru alam dan dalam diri mereka sendiri, mereka akan melihat sesuatu yang membenarkan al-Quran. Apabila apa yang mereka lihat itu dikaitkan dengan apa yang terdapat di dalam al-Quran, mereka akan meyakini bahawa al-Quran sebenarnya datang dari Allah.” Ayat ini merupakan jambatan antara sains dan al-Quran. Ia mengisyaratkan bahawa penemuan-penemuan sains masa kini yang berkaitan dengan alam dan manusia akan menampakkan tanpa ragu-ragu lagi, kebenaran al-Quran. Justeru, penemuan-penemuan sains masa kini boleh dimanfaatkan untuk memahami ayat-ayat tertentu di dalam al-Quran.

CONTOH AL-QURAN SAINTIFIK

[1] Langit dan bumi berasal dari asap (Kosmologi)

ثُمَّ ٱسۡتَوَىٰۤ إِلَى ٱلسَّمَاۤءِ وَهِیَ دُخَانࣱ فَقَالَ لَهَا وَلِلۡأَرۡضِ ٱئۡتِیَا طَوۡعًا أَوۡ كَرۡهࣰا قَالَتَاۤ أَتَیۡنَا طَاۤىِٕعِینَ

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: “Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!” Keduanya menjawab: “Kami berdua sedia menurut – patuh dengan sukarela” [Surah Fussilat 11]

[2] Besi dalam bumi (Geologi).

لَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا رُسُلَنَا بِٱلۡبَیِّنَـٰتِ وَأَنزَلۡنَا مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡمِیزَانَ لِیَقُومَ ٱلنَّاسُ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَأَنزَلۡنَا ٱلۡحَدِیدَ فِیهِ بَأۡسࣱ شَدِیدࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ مَن یَنصُرُهُۥ وَرُسُلَهُۥ بِٱلۡغَیۡبِۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِیٌّ عَزِیزࣱ

Dan kami telah menurunkan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. [Surah Al-Hadid 25]

[3] Kejadian gunung-ganang (Geologi)

أَلَمۡ نَجۡعَلِ ٱلۡأَرۡضَ مِهَـٰدࣰا ۝ وَٱلۡجِبَالَ أَوۡتَادࣰا

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? [Surah An-Naba’ 6 – 7]

[DDZA]

———————

[4] Peredaran Matahari dan Bumi Sejak sekian lama para saintis telah mengkaji dan membuat kesimpulan bahawa planet-planer mengelilingi matahari manakala bulan mengelilingi bumi. Mereka juga mendapati bahawa kesemua planet-planet dan bintang mempunyai garis peredarannya sendiri. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala;

وَهُوَ ٱلَّذِی خَلَقَ ٱلَّیۡلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمۡسَ وَٱلۡقَمَرَۖ كُلࣱّ فِی فَلَكࣲ یَسۡبَحُونَ

Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas). (Al-Anbiya 33)

[5] Alam semesta yang berkembang Pada abad ke-20 seorang ahli fizik dari Rusia Alexander Friedmann dan ahli kosmologi George Lemaitre telah membuat satu penemuan yang mengejutkan bahawa alam semesta ini tidak statik sebaliknya terus berkembang dari semasa ke semasa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala;

وَٱلسَّمَاۤءَ بَنَیۡنَـٰهَا بِأَیۡی۟دࣲ وَإِنَّا لَمُوسِعُونَ

Dan langit Kami bangunkan dengan kekuasaan (Kami), dan Kami benar-benar mengembang-luaskannya. (Az-Zariyat 57)

[6] Kejadian Manusia Ahli biologi dunia menemui bahawa penciptaan manusia adalah terjadi dengan gabungan sperma dan ovum yang membentuk zigot. Penemuan ini adalah hasil kajian yang dibuat oleh ilmuan barat pada 1940. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala;

وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن سُلَـٰلَةࣲ مِّن طِینࣲ ۝ ثُمَّ جَعَلۡنَـٰهُ نُطۡفَةࣰ فِی قَرَارࣲ مَّكِینࣲ ۝ ثُمَّ خَلَقۡنَا ٱلنُّطۡفَةَ عَلَقَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡعَلَقَةَ مُضۡغَةࣰ فَخَلَقۡنَا ٱلۡمُضۡغَةَ عِظَـٰمࣰا فَكَسَوۡنَا ٱلۡعِظَـٰمَ لَحۡمࣰا ثُمَّ أَنشَأۡنَـٰهُ خَلۡقًا ءَاخَرَۚ فَتَبَارَكَ ٱللَّهُ أَحۡسَنُ ٱلۡخَـٰلِقِینَ…

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

[Aw]

_______________________

Kesimpulan…

Tidak ada keraguan tentang al-Quran yang hebat itu, baik dari segi penurunannya, maupun dari segi lafaznya dan maknanya, kerana itu adalah firman Tuhan.

[Mtr]

…………………

Al-Quran itu adalah kitab agung yang tidak diragukan lagi bahawa ia adalah dari Allah, jadi tidaklah benar bagi siapa pun untuk meragukannya kerana kebenarannya amat nyata.

[Myr]

…………………

Ayat 2 (Frasa 3)

هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ

Dan ‘hudan’: Apa yang diperolehi dengannya hidayah dari kesesatan dan kesangsian, dan apa yang dengannya ada petunjuk kepada cara hidup yang berguna dan berfaedah. Dan bahawasanya ia menjadi petunjuk untuk kepentingan dunia dan akhirat. Ia juga panduan bagi manusia di dalam perkara dasar atau pun cabang, menjelaskan apa yang benar dan batil, dan yang menerangkan kepada mereka jalan bagaimana yang bermanfaat untuk mereka lalui di dunia dan akhirat.

Taqwa adalah sebab yang utama untuk memperolehi hidayah. Hakikat taqwa itu adalah: Memelihara diri dari murka dan azab Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menghindari larangan. Mereka (orang-orang yang bertaqwa) mengambilnya (yakni, al-Quran itu) sebagai panduan, justeru mereka memperolehi keuntungan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberikan furqān kepadamu…

‘Furqan’ itu adalah kemampuan membezakan antara yang hak dan batil. Orang-orang yang bertaqwa itu, mereka mengambil manfaat dengan ayat-ayat al-Quran.

[I]

_______________

Hudan, maksudnya bimbingan yang betul dan penjelasan bagi orang-orang yang bertaqwa. Dikatakan bahawa ini bertujuan untuk menjawab tuduhan.

Berkata Ibnu Abbas Radhiallahu anhuma: Al-Muttaqin adalah orang yang takut melakukan syirik, dosa-dosa besar dan perkara-perkara yang amat keji. Ia dari perkataan الإتقاء yang membawa maksud kewaspadaan dan penjauhan atau penghindaran. Dan asalnya adalah الحجز yang membawa makna perisai, kubu, benteng dan seumpamanya; yang memisahkan dua perkara. Orang yang bertaqwa adalah umpama mereka yang mematuhi perintah Allah menjauhkan diri dari apa yang ditegahnya sebagai dinding atau benteng di antaranya dengan azab.

Berkata Umar bin al-Khattab radhiallahu Anhu kepada Ka’ab al-Ahbar, ceritakan kepada ku tentang taqwa, maka dia berkata: Adakah kamu pernah melalui jalan berduri? Umar bin al-Khattab berkata: Ya. Ka’ab berkata: Apa yang kamu buat dalam keadaan itu? Umar berkata: Aku berhati-hati dan berwaspada. Berkata Ka’ab: Itulah taqwa.

Berkata Syahru bin Harisah: Orang yang bertaqwa adalah mereka yang meninggalkan apa yang tidak menyakitinya kerana berwaspada terhadap apa yang akan menyakitinya.

Berkata Umar bin Abdul Aziz: Taqwa adalah meninggalkan apa yang Allah haramkan dan menunaikan apa yang Allah fardhukan . . .

Berkata Ibnu Umar: At-Taqwa adalah bahawasanya engkau tidak melihat diri engkau lebih baik dari orang lain. Dan dikhususkan menyebut orang-orang yang bertaqwa sebagai suatu penghormatan bagi mereka, atau kerana mereka melindungi diri mereka dengan al-huda.

[B]

_______________

Huda, maknanya adalah pemandu yang menyampaikan kepada apa yang dikehendaki atau apa yang dicari dan pengelak dari kesesatan. [W]

_______________

Taqwa dari segi syarak ialah mematuhi perintah-perintah Allah, menjauhi larangan dari dosa-dosa besar dan tidak berterusan (bersantaian) dengan dosa-dosa kecil yang terang atau yang tersembunyi. Dalam erti kata lain taqwa bermaksud kewaspadaan, penghindaran atau penjagaan dari apa yang Allah jadikan ia sebagai sebab mendapat kemurkaan dan azab daripadaNya. Oleh kerana itu, dosa-dosa besar, semuanya diancam pelakunya dengan hukuman, selain اللمم (dosa kecil).

______________________________

Tentang Dosa Besar

Pengertian

Ibnu Abbas :-

Setiap dosa yang diletakkan padanya dengan nas al-Quran, Sunnah, atau ijmak bahawa ia ialah dosa besar, dijanjikan hukuman yang berat, hukuman had, atau sangat diingkari atasnya, maka ia adalah dosa besar.” (Fath al-Bari, 15/709)

Qurtubi :-

Dosa besar adalah yang Allah akhiri dengan ancaman neraka, atau kemurkaan, atau laknat atau azab seksa.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 5/59 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/282)

Kesimpulannya

Semua dosa yang disebutkan sebagai dosa besar, dijanjikan azab, neraka, kemurkaan Allah, laknat, adanya hukuman hudud, disifatkan pelakunya sebagai fasiq. Jika mana-mana dosa ada salah satu daripada ciri disebutkan, maka ia adalah dosa besar.

Contoh Dosa-dosa besar

1) Syirik

2) Sihir

3) Durhaka terhadap ibu bapa

4) Meninggalkan ibadah fardu dengan sengaja

5) Maksiat kemaluan, seperti zina dan liwat.

7) Membunuh; termasuk gugurkan kandungan

8) Minum arak

9) Makan riba

10) Mencuri

11) Maksiat lidah seperti memfitnah dan mengumpat

12) Berjudi dan memakan hasilnya.

13) Curi timbang

14) Makan harta anak yatim

15) Bakhil dengan harta

16) Tenung nasib

17) Mendedah aurat serta tabaruj

18) Maksiat hati seperti takabur, riak, ujub

Sambung baca 👇

Cara untuk bertaubat . . .

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga: Pertama: Menjauhi dan meninggalkan maksiat. Kedua: Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut. Ketiga: Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya. (Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah). Keempat: Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu): Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

Adab-adab atau Tatacara bertaubat

1.Menyesali dengan sungguh-sungguh Penyesalan itu sendiri ialah hakikat bertaubat. Jika masih teringat dengan kemaksiatan yang kita perbuat, lawan dengan kesedihan yang ada. 2.Meninggalkan perbuatan dosa itu dan semua penggalak kepadanya. 3.Berazam untuk tidak mengulang kembali. 4.Dekatkan diri kepada Allah dan banyak beribadah. Firman Allah di dalam surah Hud ayat 114;

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَیِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَـٰتِ یُذۡهِبۡنَ ٱلسَّیِّـَٔاتِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّ ٰ⁠كِرِینَ

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

5. Solat Taubat. 6.Cari lingkungan yang baik Untuk memperkuatkan azam meninggalkan perbuatan maksiat. 7.Merahasiakan. Rahsiakan dosa dari siapapun termasuk orang terdekat, apalagi orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala;

رَبَّنَا فَٱغۡفِرۡ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرۡ عَنَّا سَیِّـَٔاتِنَا…

(آل عمران ١٩٣)

Al-Wasit :-

أن تغفر لنا ذنوبنا بأن تَسَتَّرَها وتعفو عنها، وأن تكفر عنا سيئاتنا بأن تزيلها وتمحوها وتحولها إلى حسنات

Al-Mukhtasar :-

فاستر ذنوبنا فلا تفضحنا

Jadi, tutupilah dosa-dosa kami, jangan dedahkan (dosa-dosa) kami…

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: “Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam bersabda; setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka.

Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah Subhana wa Ta’ala menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): “Saya melakukan dosa itu malam tadi, sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah Subhanahu wa Ta’ala menutupinya, tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri. (HR Bukhari dan Muslim).

Dalam sebuah hadis, Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam pernah bersabda. “Siapa yang tertimpa musibah maksiat dengan melakukan perbuatan semacam ini (perbuatan zina), hendaknya dia menyembunyikannya, dengan kerahasiaan yang Allah berikan.” (HR. Malik)

Jangan sampai hati jadi tumpul dari rasa taubat…

إِنَّ عَبْدًا أَصَابَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ أَذْنَبْتُ ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَبْتُ ، فَاغْفِرْ لِي ، فَقَالَ رَبُّهُ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَصَابَ ذَنْبًا أَوْ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، فَقَالَ : رَبِّ ، أَذْنَبْتُ أَوْ أَصَبْتُ آخَرَ ، فَاغْفِرْهُ ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ، ثُمَّ مَكَثَ مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ أَذْنَبَ ذَنْبًا ، وَرُبَّمَا قَالَ : أَصَابَ ذَنْبًا ، قَالَ : قَالَ رَبِّ ، أَصَبْتُ أَوْ قَالَ أَذْنَبْتُ آخَرَ : فَاغْفِرْهُ لِي ، فَقَالَ : أَعَلِمَ عَبْدِي أَنَّ لَهُ رَبًّا يَغْفِرُ الذَّنْبَ وَيَأْخُذُ بِهِ ، غَفَرْتُ لِعَبْدِي ثَلَاثًا ، فَلْيَعْمَلْ مَا شَاءَ

Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.” Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”

Inilah yang disebut oleh al-Imam al-Qurtubi sepertimana dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, beliau berkata: “Hadis (di atas) menunjukkan betapa besarnya faedah istighfar, betapa agungnya kurniaan Allah, betapa luasnya rahmat, kelembutan dan kemurahan Allah. Akan tetapi istigfar ini ialah istighfar dimana hatinya mempunyai niat yang sama dengan apa yang lidah lafazkan untuk meninggalkan maksiat, dan ia disertai dengan rasa penyesalan. Inilah maksud taubat.”

“Ia bermaksud sesiapa yang mengulangi dosa dan taubat, setiap kali terjebak ke dalam dosa dia akan kembali bertaubat. Ia bukan bermaksud sesiapa yang lidahnya memohon ampun kepada Allah, sedangkan hatinya berterusan mahu melakukan maksiat itu.” (Lihat Fath al-Bari, 21/89)

Seseorang berkata kepada al-Hasan al-Basri: “Apakah salah seorang daripada kita tidak merasa malu kepada Tuhan-Nya. Dia memohon ampun terhadap dosanya kemudian dia mengulangi lagi, memohon ampun kemudian mengulangi lagi?” Lalu Imam al-Hasan al-Basri berkata: “Syaitan berharap jika dia berjaya menjadikan kamu merasa sedemikian. Maka janganlah jemu daripada istighfar (memohon keampunan).” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 19/26)

Taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagimana tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan.

Taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya.

Jadi, jangan putus asa dari rahmat Allah. Namun, jangan sampai dipintas kemudian atau jangan sampai hati menjadi tumpul . . . . .

___________________________________

Tentang Dosa Kecil

Pengertian

Dosa kecil ialah pelangaran perintah Allah yang tidak dikenakan hukum huduh atau tidak menerima ancaman azab yang pedih serta tidak mendatangkan murka serta laknat Allah swt dan RasulNya. Dosa kecil dipermudahkan cara untuk menghapuskannya.

Sedikit tentang bahaya dosa kecil…

Kita tidak boleh meremehkan dosa-dosa kecil, bahkan terus-menerus melakukan dosa kecil itu, akan berubah menjadi dosa besar, dan akan keluar dari perkataan اللمم itu.

Imam an-Nawawi rahimahullah berkata dalam syarah Muslim: Para ulama rahimahullah berkata: “Terus-menerus melakukan dosa kecil akan merubahnya menjadi dosa besar.” Diriwayatkan dari Umar dan Ibnu Abbas dan yang lainnya radhiyallahu ‘anhum: “Tidak ada dosa besar dengan istigfar, dan tidak ada dosa kecil jika terus-menerus dilakukannya”.

Syekh Islam Ibnu Taimiyah, rahimahullah berkata: “Sesungguhnya zina termasuk dosa besar, sedangkan melihat dan meraba dan dosa-dosa kecil akan diampuni dengan menjauhi dosa besar, namun jika ia terus menerus melihat dan meraba maka akan menjadi dosa besar, boleh jadi jika terus menerus dilakukan maka akan jadi lebih besar dari perbuatan keji yang kecil. Kerana melihat terus-menerus dengan syahwat yang akan menyebabkan rasa rindu dan upaya untuk mencobanya, maka kesannya akan lebih keji dari pada zina yang tidak dilakukan terus-menerus.

Oleh karenanya para ahli fikih berkata tentang (syarat) seorang saksi yang adil adalah tidak melakukan dosa besar dan tidak terus-menerus melakukan dosa kecil. Seorang yang sedang rindu dan mabuk cinta maka ia akan menjadi budak dari apa yang ia cintai dan menjadi tawanan hatinya.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ، فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ، وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَرَبَ لَهُنَّ مَثَلا: كَمَثَلِ قَوْمٍ نَزَلُوا أَرْضَ فَلاةٍ، فَحَضَرَ صَنِيعُ الْقَوْمِ، فَجَعَلَ الرَّجُلُ يَنْطَلِقُ فَيَجِيءُ بِالْعُودِ، وَالرَّجُلُ يَجِيءُ بِالْعُودِ، حَتَّى جَمَعُوا سَوَادًا، فَأَجَّجُوا نَارًا، وَأَنْضَجُوا مَا قَذَفُوا فِيهَا (حسنه الألباني في صحيح الجامع، رقم ٢٦٨٧)

“Jauhilah oleh kamu semua dosa-dosa kecil, kerana jika ia berkumpul pada seseorang maka ia akan menghancurkannya, dan sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam memberikan sebuah perumpamaan: iaitu suatu kaum yang singgah di sebuah lembah, seraya dihampiri oleh pemuka kaum, lalu orang tadi pergi dan kembali dengan membawa dahan kering hingga terkumpul dalam jumlah yang banyak, kemudian dinyalakanlah dengan api, tumpukan dahan yang terbakar tadi akan memasakkan apa saja yang dipanggang di atasnya”. (Dihasankan oleh al Baani dalam “Shahih al Jami’: 2687)

Ibnu Majah meriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadaku:

يَا عَائِشَةُ، إِيَّاكِ وَمُحَقَّرَاتِ الأَعْمَالِ، فَإِنَّ لَهَا مِنْ اللَّهِ طَالِبًا (صححه الألباني في صحيح ابن ماجه)

“Wahai Aisyah, jauhilah olehmu dosa-dosa kecil, kerana semuanya akan dimintai pertanggung jawaban di hadapan Allah”. (Disahihkan oleh al Baani dalam “Shahih Ibnu Majah”)

Al Ghazali berkata: “Dosa-dosa kecil yang terus-menerus memberikan akibat yang besar kepada menghitamnya hati, hal ini seperti titisan-titisan air yang menitis pada sebuah batu yang lama-lama pasti akan melubanginya, meskipun air itu lembut dan batu itu keras”.

Alangkah benarnya seseorang yang berkata:

لا تحقرنَّ صغيرةً إنَّ الجبالَ من الحصى

“Jangan pernah memandang mudah dosa kecil, sesungguhnya gunung itu adalah (tumpukan) dari kerikil yang kecil”.

Contoh Dosa-dosa Kecil (Kitab al-Anwar Imam Yusuf al-Ardabili asy-Syafi’i)

1.Melihat perkara-perkara

yang tidak diharuskan atau tidak bolehkan melihat nya.

2.Mengumpat (Menceritakan kekurangan seseorang di belakangnya).

3.Mendiamkan (tidak mencegah) perbuatan mengumpat yang dilakukan dihadapankita.

4.Berbohong dalam perkara yang tiadahukum had dan yang tidak mendatangkan mudarat ke atas orang lain.

5.Menjenguk (mengintai) ke dalam rumahorang.

6.Tidak bertegur sapa dengan sesama Islam melebihi 3 hari.

7.Melampui batas syarak dalam perbalahan.

8.Mengangkat (menyaringkan dan menguatkan) suara menyebut kebaikan simati di majlis kematian, sambil merintih kesedihan kerana kematiannya.

9.Mengoyak-goyakkan pakaian ketika mendengar berita kematian seseorang.

10.Berjalan dengan gaya sombong dan merasa diri hebat.

11.Duduk bersama orang fasiq kerana merasa senang dengan mereka.

12.Memasukkan najis ke dalam masjid.

13.Menjadi imam, pada hal makmum benci kerana keaiban yang ada padanya.

14.Melakukan hal yang tidak berfaedah (bermain-main) di dalam solat.

15.Angkat kepala lebih dahulu daripada imam selepas rukuk atau sujud dalam solat.

16.Ketawa di dalam solat.

17.Menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.

18.Mendongak ke langit ketika solat.

19.Meletak tangan di pinggang (bercekak pinggang) ketika solat.

20.Melangkah di atas bahu orang di dalam masjid pada hari Jumaat.

21.Melintasi orang sedang bersolat.

22.Melangkah orang sedang bersolat.

23.Bersolat ketika waktu terlarang.

24.Membuang air besar atau kecil menghadap kiblat.

25.Membuang air di tempat umum.

26.Membuang air di tepi sungai yang menjadi tempat atau pangkalan kegunaan umum, sama ada tempat mendarat atau tempat orang menumpu untuk sesuatu keperluan.

27.Membuang air di tempat mandian.

28.Membuang air di dalam air bertakung.

29.Bercium dengan suami atau isteri sehingga menggerakkan syahwat ketika berpuasa.

30.Terus menerus berpuasa tanpa makan sesuatu di waktu malam di antara dua puasa.

31.Menyentuh kulit dan anggota wanita (bagi lelaki) atau menyentuh kulit atau anggota lelaki (bagi wanita) yang ajnabi.

32.Menyetubuhi isteri yang telah di zihar sebelum membayar kifarah.

33.Berkhalwat dengan perempuan ajnabiah tanpa niat buruk dan tanpa niat untuk melakukan atau tanpa melakukan sesuatu yang haram, seperti tanpa berzina atau berkucup dan berciuman. Sekiranya telah melakukan perkara haram, maka telah dikira dosa besar.

34.Seseorang wanita yang musafir tanpa ditemani oleh suami atau mahram atau oleh 3 orang wanita yang amanah dan adil. Walaupun mendapat keizinan suami. Tapi kalau tanpa izin dan tanpa redha suami, di kira dosa besar. Kerana keluar secara menderhakai suami. Kecuali kerana sesuatu urusan yang dibolehkan syariat, seperti belajar ilmu fardhu ain dan lain-lain.

35.Membeli barang makanan ketika harga mahal dan menjualnya dengan harga yang lebih mahal ketika orang lain berhajat atau memborong barang ketika harga murah dan menjual dengan harga mahal ketika orang memerlukannya.

36.Menawar ke atas barangan yang telah dibeli oleh orang lain setelah masing-masing bersetuju dengan harga yang telah ditetapkan.

37.Menjual barang orang lain tanpa izinnya.

38.Membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain.

39.Meminang pinangan orang lain.

40.Menjual barangan yang cacat dengan tidak diterangkan kecacatannya.

41.Membela anjing yang tidak diharuskan membelanya. Kecuali untuk tujuan memburu atau menjaga rumah atau harta benda (anjing yang telah dilatih untuk tujuan tersebut)

42.Menyimpan arak yang tidak dihormati

43.Berbicara ketika khatib berkhutbah Jumaat.

44.Menajiskan masjid.

45.Mengotorkan masjid dengan sesuatu yang tidak bernajis seperti sampah, tanah dan sebagainya.

46.Duduk di dalam masjid dalam keadaan hadas besar.

___________________________________

. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .

Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz adalah seorang warga OKU. Sejak jatuh pada April 2020, keadaan ustaz bertambah uzur dari sebelumnya. Andai sudi menyumbang, salurkanlah ke no akaun 12168020073576 (Bank Islam Malaysia Berhad); atau no akaun 164799034703 (Maybank); atas nama Hishamuddin bin Abdul Aziz bagi membantu beliau sebagai warga OKU dalam usaha pengembangan ilmu² agama & lain² keperluan. [muiz@admin]

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment