ولنبلونم بشيء من الخوفِ والجوعِ ونقصٍ من الأموالِ والأنفسِ والثمراتِ وبشِّرِ الصابرين
Pengertian ayat:-
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Tafsiran:-
ولنبلونم بشيء
Allah Taala memberitahu hambaNya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hambaNya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar.
Inilah Sunnah Allah Subhanahu wa Ta’ala di antara hamba-hambaNya; kerana jika kebahagiaan atau kemakmuran itu berterusan bagi orang-orang yang beriman dan dia tidak mengalami kesulitan, nescaya bercampur-aduklah kebahagiaan dan kemakmuran itu dengan kefasadan.
Kebijaksanaan Allah Subhanahu wa Ta’ala menghendaki membezakan orang yang baik daripada orang yang jahat. Inilah faedah musibah, iaitu memelihara iman orang-orang yang beriman dari terhapus, dan tidak pula mereka menolak agama mereka. Allah tidak akan mensia-siakan iman orang-orang yang beriman.
من الخوفِ والجوعِ
Dia memberitahu dalam ayat ini bahawa Dia akan menguji hambaNya dengan sebahagian (sedikit) ketakutan (daripada musuh) dan sebahagian (sedikit) dari kelaparan. Ini adalah kerana jika Dia menguji mereka dengan ketakutan, atau kelaparan sepenuhnya, nescaya mereka akan binasa. Musibah (mehnah) hanya menguji, tetapi tidak akan membinasakan.
ونقصٍ من الأموال
(Allah menimpakan ujian dengan) kekurangan harta; ini meliputi semua kekurangan yang melibatkan harta dari musibah samawi, tenggelam, kemusnahan (kebinasaan), perampasan harta oleh raja yang zalim, rompakan dan sebagainya.
والأنفسِ
(Allah menimpakan ujian dengan) Jiwa (nyawa) iaitu pemergian orang tersayang daripada anak-anak, saudara-mara, dan kawan-kawan, dari berbagai-bagai jenis penyakit pada tubuh manusia, atau tubuh orang yang dicintainya.
والثمراتِ
(Allah menimpakan ujian dengan) buah-buahan; biji benih, buah kurma, semua jenis pokok, tumbuh-tumbuhan hijau dengan sebab sejuk atau terbakar, penyakit (wabak) dari langit, seperti belalang dan seumpamanya.
Ini adalah perkara-perkara mesti terjadi, kerana Allah adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Terperinci Pengetahuan Nya. Dia memberitahunya, dan dia menjadikan seperti yang diberitahunya. Apabila ia terjadi, manusia akan terbahagi kepada dua bahagian. Manusia yang resah (gelisah) dan sabar:
Maka yang gelisah, dia mengalami dua musibah. Kehilangan atau kematian orang yang disayangi disebabkan oleh musibah ini, dan kehilangan apa yang lebih hebat daripadanya iaitulah pahala yang dapat diperolehi dengan mentaati perintah Allah agar sabar. Dia mendapat kerugian. Turun darjah keimanannya dari kerana kekurangan sifat sabar, redha, dan syukur. Terjadi padanya kemarahan yang menunjukkan teruknya penurunan sifat-sifat itu.
Adapun orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah untuk bersabar apabila ditimpa musibah; dia menahan diri daripada marah, dalam perkataan dan perbuatan. Mereka mengharapkan pahalanya di sisi Allah. Dia tahu bahawa pahala yang dia peroleh melalui kesabarannya lebih besar daripada musibah yang menimpanya, sebaliknya, musibah adalah nikmat pada hakikatnya, kerana ia telah menjadi satu cara untuk memperoleh apa yang lebih baik baginya dan lebih bermanfaat daripadanya, oleh kerana dia telah mentaati perintah Allah, maka dia mendapat pahalanya.
Itulah sebabnya Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: وبشِّرِ الصابِرِيْن Iaitu: sampaikanlah berita gembira kepada mereka bahawa mereka akan dibayar upah mereka tanpa hisab. [s]
………………………………………………….
Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz adalah seorang warga OKU. Beliau boleh dihubungi di: 014-7067175. [Akaun Maybank: 164799034703 @ Bank Islam 12168020073576 untuk usaha perkongsian Ilmu & Dakwah]
_muiz@admin: 0107954182_