Aku Ustaz OKU

Aku yang sekarang, bukan yang dulu…

Dulu…

Semasa usia saya masih muda dan sihat, saya boleh mengisi banyak jadual ceramah dalam satu hari. Bermula dengan kuliah subuh (pada hari-hari cuti), kuliah dhuha, kuliah zohor, kuliah maghrib dan ceramah atau usrah selepas Isyak yang kebiasaannya bermula jam sembilan atau sepuluh malam.

Semasa usia empat puluhan, keuzuran diri mula terasa. Pada peringkat awalnya, saya perlukan tongkat untuk berjalan; dari tongkat satu tiang kepada tongkat empat tiang. Mudah dan kerap terjatuh, sehinggalah saya terpaksa menggunakan kerusi roda. Namun, walaupun berkerusi roda, saya masih mampu untuk memandu kereta.

Pada masa ini, bilangan jadual atau kuliah yang saya boleh penuhi, mula berkurangan. Kemampuan dan Keupayaan sudah menjadi terhad. Hanya dua jadual kuliah atau ceramah sahaja yang mampu saya isi dalam sehari. Dalam kereta saya, sekurang-kurangnya ada kerusi roda, commode chair dan tongkat empat tiang. Saya akan cuba untuk tidak membuang air besar, kecuali di rumah, tapi jika terpaksa, itulah gunanya commode chair yang ada saya senaraikan tadi. Selalunya saya akan mencari stesen minyak Petronas kerana mereka ada menyediakan tandas OKU yang luas dan selesa. Dalam hal ini, isteri saya memainkan peranan yang cukup besar dan sangat mulia membantu saya yang amat terbatas keupayaan ini untuk menguruskan diri.

Sekarang…

Sekarang, pada usia lima puluh lima tahun keadaan diri sudah semakin uzur. Saya sudah tidak boleh lagi memandu kereta sendiri. Mujurlah anak-anak saya, mahu membantu memandu kereta untuk saya setiap kali nak ke kuliah atau ceramah. Saya sebenarnya, rasa tidak selesa mengganggu urusan hidup mereka. Namun apakan daya. Sekarang, dalam satu hari, saya hanya boleh menghadiri satu kuliah atau ceramah sahaja. Itu pun bukan setiap hari.

Sekarang, saya sudah tidak boleh lagi hendak membuang air besar, selain dari di rumah. Dulu, saya boleh bangun berdiri sekejap untuk berpindah dari kerusi roda ke commode chair. Sekarang, tidak! Oleh kerana itu, saya mesti menyusun jadual makan saya dengan teliti. Saya juga mesti dengan teliti memilih apa yang nak dimakan. Nampaknya, selepas ketiadaan hempedu ini, perut saya menjadi lebih sensitif.

Jadi, saya akan makan tengahari pada jam 10 atau 11 pagi, tanpa bersarapan. Jika dalam tempoh masa sehingga jam 5 petang itu, ada rasa nak membuang air besar, maka akan saya tunaikan sebelum keluar dari rumah untuk ke masjid atau surau. Juga selepas dari makan tengahari jam 10 atau sebelas pagi tu, saya tidak akan ambil apa-apa makanan sehinggalah selesai kuliah maghrib kerana takut perut terganggu.

Di bulan puasa, keadaan lebih menguji. Dulu, sebelum ada masalah hempedu ini, jadual tazkirah taraweh saya di masjid atau surau yang jauh dari rumah, saya boleh keluar awal dari rumah dan berbuka puasa di kedai, di masjid atau surau, atau sekurang-kurangnya berbuka dalam kereta apabila sudah berada berdekatan dengan lokasi.

Namun, selepas ada masalah hempedu ini (atau mungkin disebabkan oleh masalah lain, saya tak pasti sangat…), saya sudah tidak begitu berani untuk berbuka selain di rumah terlebih dahulu. Saya tak berani nak berbuka di dalam kereta atau di kedai atau di surau sekali pun, kerana jika perut meragam, akan jadi kacau dibuatnya. Saya berbuka dengan sangat berjaga-jaga. Selepas pembuangan hempedu ni, perut jadi tak menentu. Walaupun saya sangat berjaga-jaga dalam memilih apa yang dimakan dan hanya mengambil sedikit sahaja untuk berbuka tu, ia bukan jaminan untuk perut itu tidak meragam. Sebab itu saya berbuka dulu di rumah. Tengok, jika perut meragam (dan kebanyakannya begitu), saya akan ke bilik air secepat mungkin. Perlu difahami secepat mungkin saya itu tidak sama dengan secepat mungkin bagi mereka yang sihat. Dari katil turun ke commode chair, disorong ke bilik air dan pindah semula ke katil, bukanlah perkara yang mudah bagi saya. Kemudian, bertolak ke surau secepat mungkin juga. Kalau surau yang tidak jauh dari rumah, masih boleh sampai awal. Jika tidak waktu isya’, akan terlewatlah sedikit sampainya. Namun masih sempat untuk solat tarawih beberapa rakaat dan menyampaikan tazkirah yang kebanyakan surau buat selepas 8 rakaat. Ada kejadian, surau di Ampang, saya hanya sempat sampai dan buat tazkirah selepas witir, walaupun jadual sebenarnya selepas 8 rakaat taraweh. Biasanya, jauh malam nanti, menjelang sahur, saya akan menambah rakaat-rakaat tarawih saya kepada jumlah maksimum yang saya mampu…

Sungguhpun dalam keadaan seperti yang diceritakan di atas, saya masih tak mau ketinggalan dalam menyampaikan dakwah atau ilmu. Saya akan berusaha sedaya upaya agar dapat bersama² ustaz² lain dalam usaha menyampaikan ilmu dan dakwah ini, walaupun dalam keadaan merangkak atau bertateh, sehinggalah Allah benar-benar menamatkan kehidupan saya di dunia ini.

…………………………………………………….

Ustaz Hishamuddin Abdul Aziz adalah seorang warga OKU di talian: 0147067175.

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment