Duhai anak

Marah, bersulam kasih…

Iklan

Ada seorang ibu. Sejak dari kecil hingga besar, dia memarahi anak lelakinya, setiap kali dia patut dimarahi. Pagi, petang, siang dan malam; marah, marah dan marah. Namun tentunya bersebab.

Susah hendak dikejutkan dari tidur. Liat hendak ke sekolah. Banyak guna duit. Banyak main game. Mengusik adik-adik. Kotorkan pakaian semasa bermain. Tidak mengemas meja dan membasuh pinggan dan cawan selepas makan dan minum. Kain baju bersepah. Bilik bersepah. Balik lewat. Tidak membantu buang sampah. Tidak bantu lipat kain dan sebagainya.

Kemarahan si ibu yang paling kerap dan bersungguh adalah tentang solat. Kemarahannya amat bersungguh-sungguh dan gigih hingga kadang-kadang, menerbitkan rasa benci si anak pada ibunya dan membuatkan si anak merasakan bahawa si ibu, sudah tidak menyayangi si anak lagi. Mungkin si ibu salah pendekatan. Atau mungkin juga si anak yang salah terima.

Namun setelah si anak berkahwin dan berpindah rumah. Walau pun pindahnya itu tidak jauh. Walau hanya untuk beberapa hari tidak melihat kelibat anaknya. Si ibu sudah mencari-cari. Si ibu sudah bertanya-tanya. “Mana anak dan menantu aku ini?” Rungutnya. “Senyap sahaja. Tiada berita,” tambahya lagi.

Rindu. Ya, dia rindu kepada anaknya yang sekian lama dibesarkan. Mungkin juga dia kehilangan tempat untuk marah. Dia sebenarnya kehilangan tempat untuk menyiramkan kasih-sayangnya yang tidak pernah habis. Kasih sayang yang tetap subur dan mekar. Seorang ibu, malah bapa juga, tidak pernah menganggap anaknya sudah dewasa.

Itulah kasih sayang seorang ibu. Rindu kepada si anak, walau hanya beberapa hari tak nampak. Dia rindu kepada si menantu yang sudi berkongsi kasih dalam hidup anaknya. Walau dia selalu marah. Walau marahnya menjengkelkan. Dia ibu, memang tugasnya marah. Dia lahir ke dunia ini dengan bakat memarahi. Dia disemai dengan bakat meleteri. Marahnya adalah semarak dari kasih sayangnya.

Tahukah kita, marah seorang ibulah yang melahirkan ulamak, pemimpin, cerdik-pandai dari kalangan umat. Amat rugilah si anak yang tidak pernah dimarahi ibunya.

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment