Lucu

Suatu petang di bulan Ramadhan…

Iklan

Petang. 1 Ramadhan. Ayu sedang mengambil  wuduk. Dia mahu menunaikan solat Asar. Selesai berwuduk, dia berfikir untuk membaca Quran. Ini bulan Ramadhan. Lebih baik jika dia memperbanyakkan ibadatnya. Dia mencapai Quran yang ada di meja  berdekatan dengan tempat dia bersolat. Quran yang bermas-haf Usmani itu dibukanya. Dia membaca surah Al-Fatihah yang menjadi seawal-awal ayat atau surah yang tersusun dalam Quran. Selepas membaca Basmallah untuk permulaan surah al-Baqarah, dia menarik nafas panjang sebagai persediaan untuk membaca ayat pertama surah itu yang terbina oleh Mad Lazim Harfi Muthaqqal. Sejumlah nafas terkumpul dan terus digunakan untuk membaca ayat pertama dari surah Baqarah itu. Kemudian dia menarik dan menyimpan nafas yang agak panjang sebagai persediaan untuk membaca ayat ke dua. Dia menyedut nafas, namun sebelum sempat menggunakan nafas itu untuk memulakan bacaan, dia terdengar suatu bunyi. Bunyian itu, sebenarnya datang dari tingkap rumah jirannya. Dia mengamatinya. “Janam janam janam, sate chalna yunhi, kassam tumhe kasam, a ke milna yahi…” Dia mengenali bunyi itu. Itu lagu dari filem Delwale, lakonan Sharrukh Khan dan Kajol. Baru dia teringat bahawa pada petang itu, ada tayangan filem Delwale di kaca TV. Tentang ini, telah disiarkan berkali-kali di dalam iklan. Dia sebenarnya sudah mengikuti sebahagian dari cerita ini semasa mengunjungi rumah sepupunya. Tapi, tidak dapat mengikutinya sehingga ke akhir cerita kerana anak kecilnya sudah menangis-nangis. Dia sememangnya amat teringin mengikuti cerita itu sehingga ke akhirnya, walaupun kesudahan cerita sudah diketahui dari mulut jiran-jirannya. Dia mahu menyaksikan dramanya. Dia mahu merasakan getarannya. Di tempat ada kelucuan, dia ingin ketawa. Di tempat ada kemarahan, dia juga ingin berkongsi kemarahan. Di tempat sedih, dia ingin bersedih, menangis dan mengesat air matanya. Dia mahu merasakan itu semua yang hanya dapat dikecapi melalui filem-filem hindustan. Itu semua, berlegar-legar di fikirannya, sedang dia menyimpan nafas untuk membaca ayat ke dua dari surah al-Baqarah yang sedang mula dibacanya itu. Akhirnya; “Sodaqallahul Azim,” terpacul di bibir mulutnya. Dia menutup dan mengucup Qurannya dengan pantas. Dia menanggalkan telekung juga dengan pantas. Ibarat superman menyalin pakaian biasanya kepada kostumnya. Berlari dia ke depan TV plasmanya. Bersila. Mencapai dan memicit alat kawalan jauh untuk memastikan TVnya berfungsi sebagaimana sepatutnya. Kesudahannya, dua jam dari Ramadhan, habis digunakan untuk menikmati filem Bolywood itu…

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment