Sekilas Renungan

Bila Kematian Menjengok…

Bila ada orang yang kita sayang, dijenguk kematian; maka kita akan bersedih. Itu adalah lumrah. Namun, kita perlu memuhasabah kesedihan kita itu. Apakah kita hanya bersedih kerana kehilangan orang yang kita sayang; atau kita juga bersedih kerana mengenangkan bahawa akan sampai juga masa untuk kita dijenguk kematian.

Bila kita mati, mereka yang masih hidup, boleh mengatakan apa sahaja tentang kita. Mereka boleh berkata yang baik-baik, samada ia kebenaran atau rekaan. Kita, boleh dipuji-puji setinggi langit. Mereka juga, boleh mengatakan yang buruk-buruk, samada kebenaran atau rekaan. Kita, dicaci dan dimaki, walaupun jasad sedang mereput di dalam bumi. Kita juga mungkin dianugerahkan bintang dan darjah kebesaran; seperti gelaran Tun atau Tan Sri, selepas mati.

Namun, semua gelaran, pujian mahu pun cacian itu, tiadalah dapat menolong atau menyusahkan kita selepas mati nanti. Apa yang lebih penting adalah kehidupan bagaimana yang kita tinggalkan selepas kita mati itu.

Jika selama hidup, kita mengisi kehidupan yang dianugerahkan Allah, sesuai dengan kehendak dan laranganNya, nescaya segala kutukan dan cacian itu, tidak sedikit pun menyusahkan kehidupan kita selepas mati nanti. Jika selama kita hidup, kita mengisi kehidupan yang di anugerahi Allah sesuai dengan kemahuan nafsu kita, tanpa memperdulikan perintah dan larangan Allah, maka segala anugerah dan puji-pujian itu, tidak sedikit pun dapat menolong kita, dalam kehidupan selepas mati nanti.

Apa yang selalunya, menghitamkan kehidupan kita selepas mati nanti adalah ‘cara’ apa yang kita lakukan untuk meneruskan kehidupan kita di dunia itu. Selalunya, demi untuk menyelamatkan kehidupan kita di dunia, kita memusnahkan kehidupan kita selepas mati. Sebenarnya tidak mengapa, jika kehidupan dunia kita sedikit terganggu, demi untuk menyelamatkan kehidupan kita selepas mati.

Percayalah, berlakunya kerosakan dalam kehidupan apabila kehidupan itu tidak diisi dengan mengingati kematian.

Mati, sememangnya satu perkataan yang membawa kesan gerun di dalam hati. Lebih menggerunkan kerana datangnya, tanpa kepastian. Mati, sememangnya lebih dekat kepada mereka yang tua atau sakit. Namun, ia bukan pula jauh dari mereka yang muda atau sihat. Mati, ia datang kepada mereka yang mengingatinya. Malah, ia juga datang kepada mereka yang melupainya. Bersedia untuk mati pun, kita akan mati. Tidak bersedia untuk mati pun, kita akan mati juga. Mengingati mati akan membuatkan kita takut. Lebih menakutkan kita, jika tidak langsung ingat kepada mati, sehingga tidak sedikt pun bersedia untuknya. Di sana; untuk hidup satu minggu pun, kita perlu ada bekalan. Inikan pula untuk hidup selama-lamanya.

Di dunia ini, hidup sebagai orang baik pun susah, apatahlah lagi jika hidup sebagai orang jahat. Tetapi, selepas mati, kehidupan kita di sana, hanya akan menjadi susah, jika kita mati sebagai orang yang tidak mendapat keredhaan Allah.

Ada dari kalangan kita, apabila dikejutkan dengan kematian orang yang kita kenal, apatah lagi yang dekat dengan kita, maka ia memberi kesan yang besar di dalam kehidupan kita selepasnya. Kita berubah ke arah yang ditunjukkan oleh kematian itu. Namun, ada juga dari kalangan kita yang, kematian itu hanya memberi kesan seketika. Selapas tempoh tertentu, kita terlupa akan perkara-perkara yang ditunjukkan oleh kematian. Ditambah pula dengan tekanan di dalam kehidupan, kita berbalik kepada kehidupan kita yang melupai kematian itu.

Sentiasa mengingati mati, amat berguna untuk kehidupan. Sebenarnya, kita wajib hidup dengan mengingati mati kerana setelah mati, ingatan kepada hidup, tiadalah berguna.

______________________________________________________________________

Bank Islam Malaysia Berhad – 12168020073576 / Maybank – 164799034703

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment