Pengalaman

Bulan Madu Di Hospital Serdang

Pada 25 Ogos 2015, perjalanan hidup saya disergah dengan satu peristiwa yang menjadi ujian besar bagi saya, anak-anak, terutamanya isteri saya yang telah banyak berkongsi dugaan dalam hidup ini bersama saya.

Saya menyebut, ‘ujian besar bagi diri saya’, sebab jika apa yang menimpa saya ini, dibandingkan dengan apa yang menimpa orang lain, maka ia mungkin akan menjadi suatu ujian yang kecil sahaja.

Tiga belas hari berada di hospital, memujuk hati saya untuk mensyukuri apa yang telah berlaku ke atas diri saya; kerana di sana, banyak lagi ujian-ujian yang lebih besar berlaku kepada orang lain, berbanding dengan apa yang saya alami.

Pada petang itu, kira-kira jam tiga atau empat, saya telah terjatuh akibat lantai licin yang telah mengakibatkan pula tulang dipangkal paha kanan saya patah.

Saya, dibawa dengan ambulan ke hospital Serdang. Entah jam lima atau enam, saya tak pasti, saya sampai di bahagian kecemasan. Hasil dari soal jawab di antara saya dengan beberapa orang doktor, maka kaki kanan saya di x-ray.

Sebagai orang yang berbadan besar dan berkemungkinan pula mengidap muscular distrophy, proses untuk mengambil gambar x-ray, menjadi suatu proses yang amat menyukarkan saya. Di antara yang amat menyukarkan saya adalah kerana saya tidak mampu untuk mengangkat bahagian belakang dan punggung saya untuk meletakkan papan x-ray di bawahnya. Saya mengiring dan diiringkan ke kiri dan ke kanan dalam keadaan kaki kiri saya masih sakit terseliuh, apatah lagi tulang paha kaki kanan saya yang patah itu. Setiap kalinya, saya menahan kesakitan akibat pergerakan-pergerakan yang terpaksa dilakukan itu.

Sesudah di x-ray, saya dibawa semula ke wad kecemasan dan lama selepas itu, baru saya mendapat penerangan tentang apakah yang akan dilakukan ke atas tulang paha saya yang patah itu. Pertama; saya akan dibedah untuk dimasukkan besi pada tulang yang berkenaan. Kedua; sementara menunggu pembedahan, kaki kanan saya itu akan ditarik dengan pemberat.

Waktu itu, saya tidak bimbang sangat dengan pembedahan, tetapi pekerjaan untuk menarik kaki kanan saya dengan pemberat itu yang lebih membimbangkan saya. Saya pernah melaluinya sembilan belas atau dua puluh tahun yang lalu.

Bulan Madu Di Hospital SerdangSebatang besi akan di’drill’ ke bahagian tumit kaki. Ia akan menembusi tumit dengan ada baki (kedua-dua hujung besi) di kedua-dua belahnya. Kedua-dua baki hujung besi yang terkeluar itu adalah tempat di mana tali akan di ikat, manakala hujungnya akan diletakkan pemberat dalam keadaan tergantung. Kaki yang ditarik dengan pemberat itu juga, tidak membimbangkan saya. Ia tidaklah sakit sangat. Kesakitannya boleh dihadapi. Tetapi waktu di mana besi itu di’drill’ dan sedikit demi sedikit bergerak menembusi tumit kaki itulah yang membawa kesakitan yang amat menyesakkan nafas.

Namun kebimbangan saya itu menjadi reda selepas itu. Rupa-rupanya, ada kaedah baru. Kaki kanan saya, dibalut dengan pembalut khas. Seolah-olah di’bandage’. Kemudian, dari dalam balutan itu ada tali di kiri dan kanan kaki yang bahagian hujungnya terikat dengan pemberat yang akan menarik kaki saya apabila pemberat itu berada di dalam keadaan tergantung.

Semasa doktor melakukan pekerjaan membalut kaki kanan saya itu, saya dimaklumkan bahawa selepas itu, saya akan dibawa ke wad.

Kira-kira jam tiga atau empat pagi, strecher saya disorong oleh dua orang nurse. Sambil katil bergerak, saya hanya dapat memandang petak-petak syiling disepanjang perjalanan ke wad. Selain itu, hati saya menjadi tenang memandang wajah ‘Bid’ saya yang mengikuti dengan tabah dan setia, selangkah-dua dari hujung katil yang ditarik.

Ya. Saya memanggilnya dengan ‘Bid’, iaitu singkatan dari perkataan ‘bidadari’. Puncanya, apabila dia minta saya memanggilnya ‘yang’, tentunya singkatan dari perkataan sayang. Mungkin, dia biasa mendengar panggilan seperti itu digunakan di dalam drama-drama Melayu di TV; atau mungkin juga dari adik-beradiknya sendiri. Saya sendiri mendengar mereka selalu menggunakannya, sehingga saya sendiri selalu muntah di dalam khayalan.

“Gelilah… Nak muntah,” jawab saya sambil tersengih.

“Dah tu, nak panggil apa?” Dia bertanya pula. Sedikit marah.

“Emmmm… Ababg Sham panggil Ipah, ‘Bid’! Ok?” Saya jawab lagi.

“Haaa… panggilan entah apa-apa. Apa ‘Bid’ tu?” Dia bertanya kembali.

 

“Bidadari!. Singkatan dari, ‘bidadari’. Ipah, bidadari abang Sham di dunia ni. Di akhirat esok, tentulah menjadi ketua bidadari,” saya jawab dengan agak panjang.

Spontan dia terdiam. Sukalah tu…

TONTON VIDEO BIDADARI SYURGA – KLIK

(Bersambung…)

Bulan Madu Di Hospital Serdang

Bulan Madu Di Hospital Serdang

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment