Firman Allah [s.w.t] di dalam ayat 54, surah al-Maidah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia…”
Menurut As-Sa’adi, di dalam frasa awal ayat ini, Allah ta’ala menegaskan bahawa Dialah yang terkaya dari segala yang ada di dunia ini. Siapa pun yang cuba berpaling dari agamaNya, maka berpalingnya itu tidak memudharatkan Allah sedikit pun. Sebaliknya, dia hanya memudharatkan dirinya sendiri. Bahawasanya, bagi Allah itu, penganut-penganut agamaNya yang ikhlas dan lelaki-lelaki yang benar. Sesungguhnya Allah yang bersifat pengasih itu menjamin mereka dengan hidayah petunjuk untuk mereka dan bahawasanya mereka adalah ciptaan yang paling sempurna sifat-sifatnya dan menguatkan jiwa mereka dan memperbaguskan bagi mereka akhlaq mereka. Allah memuliakan mereka dengan menyebutkan sifat mereka; “Dia mengasihi mereka, dan mereka mengasihiNya.”
Sesungguhnya kasih sayang Allah untuk para hambaNya adalah semulia-mulia nikmat yang Dia berikan ke atas para hambaNya. Ia juga adalah satu kelebihan yang paling bagus; yang Allah kurniakan dengannya ke atas para hambaNya. Apabila Allah menyayangi seseorang hambaNya, Dia memudahkan baginya sebab-sebab dan meringankan keatas para hamba yang dikasihinya itu kesusahan dan kesukaran yang mereka hadapi di dalam kehidupan ini. Dan dia menyesuaikan hambanNya itu dengan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Dia menerima hati-hati para hambaNya dengan kasih sayang dan keramahan. Di antara kebiasaan bagi para hamba yang sayangkan Tuhannya adalah bahawa dia bersifat dengan menuruti Rasulullah [s.a.w] secara zahir dan batin pada perkataan, pekerjaan dan seluruh keadaannya. Sebagaimana Allah [s.w.t] berfirman di dalam ayat lain;
قُلْ إِن كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu…”
Perkataan as-Sa’adi di atas, memberi kita beberapa pengajaran:-
1. Allah [s.w.t] itu sebenarnya, tidak memerlukan keta’atan kita semua kepadanya untuk memperkuatkan dirinya sebagai Tuhan. Tidak sebagaimana, para pemimpin atau raja-raja di dunia ini yang akan kehilangan kedudukan mereka, jika mereka sudah tidak lagi dita’ati oleh rakyat bawahan. Sikap derhaka atau degil kita terhadap Allah [s.w.t], sedikit pun tidak menggugat, apatah lagi mengurangi kekuasaanNya.
2. Malah, sikap kita para hambaNya yang menderhakaiNya, hanya akan merugikan diri kita sendiri. Kita terdedah kepada tindakan dari kemurkaan-Nya. Ada masanya, Dia menghukum kita di dunia; dan kemudian di akhirat, jika tidak mengambil kesempatan bertaubat. Ada kalanya, Dia membiarkan kita di dunia untuk menangguhkan hukumanNya ke atas kita di akhirat. Dia berhak memilih salah satu dari keduanya.
3. Kita rugi jika memilih untuk menentangNya kerana Dia akan memastikan ada dikalangan para hambaNya yang akan setia denganNya. Mereka itu akan menjadi para ‘rijal’ yang membenarkan keimanan mereka dengan mempertahan dan memperjuangkan agama Allah [s.w.t]. Dia juga akan membimbing mereka agar istiqamah dan membuka jalan kemenangan agamaNya.
4. Kasih sayang Allah adalah suatu nikmat yang sangat mulia dan kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.
5. Kelebihan, apabila mendapat kasih sayang Allah;
5.1. Memudahkan; atau dalam bahasa lain menyediakan sebab-sebab untuk melalui kehidupan. Seperti, Allah menyediakan baginya, laluan-laluan rezqi ataupun sebab musabab untuk memperolehi rezqi agar dapat menjalani kehidupan dengan baik.
5.2. Memudahkannya di dalam menghadapi kesukaran. Dalam ertikata lain, memudahkan baginya untuk menyelesaikan sebarang masalah yang timbul di dalam hidupnya.
5.3. Allah mendorongnya atau memudahkanya untuk melakukan kebaikan.
5.4. Allah menyukarkannya untuk melakukan keburukan; sebagai bantuan untuk menghalangnya.
5.5. Cara untuk mencapai kasih sayang Allah adalah dengan mengikuti dan mencontohi Rasulullaj [s.a.w].