Ayat 1
Allah (s.w.t) berfirman pada pangkal ayat 1, yang berbunyi;
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ . . .
Abdullah Muhammad Basmeih mengertikan frasa di atas dengan: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya [yakni Nabi Muhammad (s.a.w)] akan Kitab suci Al-Quran…”
Al-Baghawi; di dalam menghurai frasa awal, ayat satu ini menyatakan bahawa Allah (s.w.t) memuji diri-Nya di atas nikmat-nikmat yang telah dikurniakanNya ke atas makhluq-Nya. Khususnya, Dia menyebut nikmatnya ke atas Rasulullah (s.a.w), iaitulah penurunan al-Quran ke atasnya; sebagai ni’mat ke atas diri baginda (s.a.w) sendiri secara khusus; dan ke atas manusia yang lain secara umumnya.
Dapatlah difahamkan dari huraian al-Baghawi ini bahawa nikmat itu bukanlah hanya di dalam bentuk kebendaan semata-mata. Sebaliknya; Iman, Islam, al-Quran dan lain-lain seumpamanya adalah nikmat sebenar-benarnya berbanding perkara-perkara lain. Namun, ramai dari kalangan kita yang tidak merasai bahawa perkara-perkara yang telah disebutkan di atas adalah nikmat kerana ia bukannya sesuatu yang dapat dirasai dan dikecapi secara zahir akan kenikmatannya; berbanding harta benda di dunia ini yang dapat dinikmati, dikecapi dan dirasai oleh nafsu kita akan keseronokan dan kelazatannya. Di sana, tidak semua dapat merasakan betapa berharganya nikmat iman dan Islam; dan juga tidak semua dapat `merasai’ kedua-duanya itu sebagai suatu nikmat dari Allah [s.w.t].
Misalnya, jika ada aktiviti mengedarkan wang ringgit di masjid, tentulah orang ramai akan berbondong-bondong ke masjid, berbaris panjang dengan penuh sabar untuk mendapatkan bahagian mereka dari wang ringgit tadi, walaupun tidaklah sebesar mana jumlahnya.
Namun di sana, hampir setiap malam di masjid, ada kelas-kelas pengajian, terutamanya pengajian tafsir yang menjelaskan maksud al-Quran agar kita dapat memahaminya dan mengamalkan segala ajarannya. Malangnya, jumlah mereka yang mahu mengutip nikmat yang berupa kefahaman al-Quran itu, tidaklah semeriah mereka ke masjid untuk menikmati kenduri kendara yang sering diadakan di masjid-masjid dalam acara-acara tertentu.
As-Sa’adi pula menyatakan bahawa Allah (s.w.t) pada frasa ini, memuji ke atas diri-Nya dengan sifat-sifatNya; yang semuanya adalah sifat-sifat yang sempurna. Allah juga memuji diri-Nya dengan nikmatnya yang nyata dan tersembunyi; dan juga nikmatnya yang bersifat keagamaan dan keduniaan; dan semuanya adalah nikmatnya sama sekali. Di antara nikmatNya yang diturunkankannya itu, Kitab yang agong ke atas hambaNya dan RasulNya, Nabi Muhammad (s.a.w). Terkandung di dalam kitab itu, panduan bagi hambaNya untuk memujiNya di atas pengutusan Rasul kepada mereka dan menurunkan Kitab ke atas mereka itu. Setiap perintah dan larangan Allah (s.w.t) yang terkandung di dalam kitabNya itu membersih, menyuci, mengembang dan menyempurnakan jiwa; dan itu dapat meletakkan jiwa itu tadi, ke dalam kesempurnaan sejati. Dalam makna jiwa yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan sekelian alam dengan tanpa mensyirikkanNya. Dan haqiqat disifatkan al-Kitab dengan apa yang disebut; bahawa memuji Allah akan diriNya di atas penurunannya; dan bahawa Dia meminta hamba-hambaNya memujiNya dengannya.
Dr Hamka pula di dalam mengulas ayat ini menyatakan bahawa yang patut menerima segala pujian, hanyalah Allah sahaja. Dan, kalau kita dipuji orang, lekas-lekas lah kembalikan kepada Allah; kerana tidak ada nikmat yang kita terima, melainkan dari Allah juga dan tiada nikmat, buatan kita sendiri.
Hukum memuji adalah harus, jika pujian yang diberikan adalah kebenaran. Jika pujian yang diberikan itu penipuan dan berlebihan dari apa yang benar, maka itu adalah mengampu, namanya. Bukan pujian.
Hukum menerima pujian juga adalah harus, namun sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Hamka tadi bahawa kita perlu segera memulangkan kepada pihak yang sebenarnya berhak ke atas pujian itu. Apa pun sebab kita dipuji, tentulah datangnya dari kurniaan Allah (s.w.t).
Firman Allah [s.w.t] di hujung ayat satu, surah la-Kahfi ini;
وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ
Abdullah Muhammad Basmeih mengertikan frasa akhir ayat 1 ini dengan: “…dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).”
Al-Baghawi menyebutkan; maknanya, Allah menurunkan ke atas hambaNya al-Kitab yang tiada dijadikan baginya kebengkokan.
As-Sobuni, di dalam Safwatut Tafasirnya menyebutkan bahawa al-Quran itu tidak bengkok pada lafaz-lafaznya, maksud-maksudnya; dan tiada padanya kecacatan dan pertentangan.
Apa yang dapat difahamkan dari perkataan al-Baghawi dan as-Sa’adi itu adalah bahawa:-
1. Tiada kesilapan pada pemilihan lafaz-lafaz atau ucapan-ucapan yang digunakan di dalam al-Quran itu. Setiap perkataan, frasa atau ayat-ayat yang digunakan adalah terpilih dan membawa makna.
2. Tiada percanggahan antara suatu perkata dengan perkataan yang lain; atau satu frasa dengan frasa yang lain; atau ayat dengan ayat yang lain. Kesemuanya saling membantu kita di dalam memahami al-Quran.
Surah Al-Kahfi, Ayat 1