Fikrah Haraki

Allah’s Move…

Allah's Move...
Allah's Move...

peta kajang

Sebagai pendokong Gerakan Islam yang memperjuangkan Islam, kita mestilah bergerak (move) berdasarkan apa yang dibenarkan oleh landasan syari’at Allah[1]. Matlamat kemenangan yang hendak dicapai itu, mestilah berkembar dengan langkah yang patuh syara’, sebagaimana kaedah yang selalu kita dengar; “Matlamat tidak menghalalkan cara.” Mana-mana langkah tidak akan menjadi suci, semata-mata kerana ia menjanjikan kemenangan.

Apabila kita bergerak mengikut apa yang dikehendaki atau diizin Allah, maka kitalah yang akan berada di pihak Allah. Bila kita berada di pihak Allah, insya Allah, mereka yang cuba merancang apa-apa konspirasi yang bertentangan dengan kehendak Allah, akan diperolok-olokkan oleh Allah dengan perancangan atau konspirasi mereka itu; bahawa mereka akan mencapai apa yang mereka hajat, namun sebenarnya mereka menuju kegagalan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala pada ayat 50, surah an-Naml;

وَمَكَرُواْ مَڪۡرً۬ا وَمَكَرۡنَا مَڪۡرً۬ا وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ

Maksudnya: “Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan jahat dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.”

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala pada ayat 54, surah Ali Imran;

وَمَڪَرُواْ وَمَڪَرَ ٱللَّهُ‌ۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَـٰكِرِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa) dan Allah pula membalas tipu daya (mereka) dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

Lihat sahajalah, bagaimana Allah memutar `Badar Move’ yang dilaksanakan oleh puak musyrikin Qiraisy untuk menjatuhkan Madinah yang seterusnya akan membawa kepada kejatuhan Nabi Muhammad (s.a.w).

Lihat juga bagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala memutar `Mesir Move’, yang cuba dijalankan oleh Firaun Mesir untuk menghalang kelahiran Nabi Musa (a.s). Bukankah akhirnya berakibatkan kejatuhan mereka sendiri. Bukan sahaja fir’aun gagal membunuh `anak kecil’ yang mereka mahukan, sebaliknya `anak kecil’ yang mahu dibunuh itu dibesarkan di istananya sendiri.

Meskipun politik berlandaskan syari’at itu nampak `bingung’ oleh mereka yang mengamalkan politik berlandaskan nafsu serakah, nampak dangkal; namun sebenarnya, ia adalah kebijaksanaan politik yang mengatasi segala kebijaksanaan.

Masakan tidak, ia adalah politik yang berasaskan syari’at Allah, Tuhan yang maha bijaksana. Tuhan yang menguasai segala perancangan-perancangan para hambaNya yang ada di atas muka dunia ini.

Sesungguhnya, golongan yang berjuang di atas dasar nafsu serakah itu, `menenun’ konspirasi untuk menggagalkan perjuangan Islam.

Wahai pendokong Gerakan Islam; sesungguhnya Allah, mendepani konspirasi mereka dengan `umpan’Nya, dalam keadaan mereka tidak menyedari. Kemudian, Allah akan menyambar mereka dengan kegagahan dan kekuasaan yang tiada bandingannya.

Maka berikanlah tempoh wahai para pejuang Islam, kepada golongan yang bernafsu serakah itu; dan jangan gopoh untuk melihat mereka menemui kegagalan. Tunggulah masa, di mana Allah akan bertindak ke atas mereka. Berikan mereka tempoh. Perhatikan mereka perlahan-lahan. Maknanya, kita tenang dan jangan bersikap gopoh untuk melihat mereka gagal sebagai yang dijanjikan Allah; dalam tempoh yang yang tidak lama sebenarnya; kerana setiap yang pasti berlaku itu, tidaklah lama.

Tentu kita ingat dengan perancangan atau konspirasi atau strategi hendak meng`Islam’kan UMNO dari dalam? Apa terjadi dengan langkah atau strategi itu? Bukankah langkah atau strategi yang menyanggah syari’at itu menghadapi kegagalan ?

………………………………………………..

[1] Bagi memastikan gerakan perjuangan Islam yang dilaksanakan itu, berteraskan syari’at, maka ianya hendaklah ditapis dan dianalisa oleh para ulamak; iaitulah, mereka yang menguasai ilmu-ilmu wahyu dengan mengikut displin yang dikehendaki.

Allah’s Move…

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment