Fikrah Haraki Politik

‘MAKSIAT’KAH KESUNGGUHAN PAS MAHU MELAKSANAKAN HUDUD ITU..?

Di dalam mengamalkan sikap tidak bersependapat dengan PAS pada ketegasan PAS mahu melaksanakan syari’ah Allah (Hudud) di Malaysia, janganlah pula kita (sebagai ilmuwan Islam, mufti dan sebagainya) menjadi ‘pengukuh’ dan pembela kepada mereka yang sememangnya tidak beriman kepada hukum Allah (s.w.t) itu; sehingga kita lupa kewajipan kita memperlihatkan keindahan syariat Allah.

‘Maksiat’kah usaha bersungguh PAS mahu melaksanakan syariat (Hudud) Allah itu?

Kalau tidak mahu menyokong, janganlah bersama dengan mereka yang menentang.

Mengambil iktibarlah dari kisah para sahabat yang berbeza pendapat tentang menangguhkan solat asar sehingga sampai ke perkampungan Yahudi yang nak diserang kerana itu adalah arahan zahir Nabi (s.a.w), atau; berhenti dahulu untuk menunaikan solat asar kerana memikir waktu solat asar yang hampir habis.

Segolongan sahabat berpendapat, meneruskan perjalanan sehingga sampai terlebih dahulu keperkampungan Yahudi yang hendak diserang itu, kemudian barulah menunaikan solat asar, namun mereka tidak menghalang segolongan sahabat yang lain; yang berpendapat bahawa mesti berhenti menunaikan solat asar terlebih dahulu, kemudian barulah meneruskan perjalanan; dan begitu jugalah sebaliknya.

Bukankah sikap yang sama sebagaimana diamalkan oleh para sahabat itu; lebih indah untuk diamalkan dalam perkara perlaksanaan syariat (Hudud) Allah ini.

Tidak bolehkah, mereka yang berpendapat bahawa belum masanya untuk melaksanakan syariatullah (Hudud), mengambil sikap tidak menghalang usaha PAS yang bersungguh di dalam hendak melaksanakan Syariat Allah (Hudud) itu, walaupun tidak mahu menyokong dan membantu.

Dr Zakir Naik, ketika ditanya, apakah pandangan beliau tentang usaha golongan yang ingin mengimplimentasikan hukum Hudud di Malaysia. Di antara perkara yang beliau sebutkan di dalam responnya terhadap soalan ini adalah di antaranya beliau mengatakan: “Jika hukum (hudud) ini dilaksanakan di mana-mana negara pun, kejahatan dalam negara itu akan menurun…”. Di antara lainnya juga beliau mengatakan: “Jika hukum ini (hudud), dilaksanakan di Malaysia, insya Allah jenayah permerkosaan akan menurun di negara ini…” Video klip ini, sudah viral dan boleh disaksikan di dalam youtube.

Dr Azman Mohd Noor di dalam laman web rasminya ‘DrAzman.net” ada menukilkan pandangan Prof Arif yang menegaskan bahawa hukuman berat ke atas kesalahan murtad, sudah sekian lama menjaga dan melindungi agama Islam. Hukuman berat ke atas zina sudah sekian lama menjaga nasab dan nyawa. Menurut kajian yang dibuat, berapa juta kes menggugurkan kandungan dan membunuh anak kecil yang tidak berdosa kerana zina.
Adapun hujah bahawa masyarakat belum bersedia, maka ia ditolak dengan fakta di atas. Adakah mereka bersedia untuk melakukan jenayah, tetapi tidak pula bersedia mengawal jenayah. Sekiranya isu yang perlu diutamakan ialah keadilan, kekayaan, bersih rasuah, maka sesetengah Negara maju seperti Sweden, munkin menduduki tempat tertinggi. Tetapi, adakah ia dianggap Islam. Ada juga yang salah faham berkenaan “Maasid al-Shariah”, dengan menggunakannya untuk menjangkaui nas nas Sharak. Menakwil dan menangguhkan perintah Allah adalah sama dengan kumpulan batiniyyah dan Syiah. Prof Arif mengakhiri komen beliau dengan bertanya adakah kita mencari keredhaan kuffar atau keredaan Allah. [Department of Fiqh and Usul al-Fiqh, UIA, Jumaat 11am-1245pm, 30 Mei 2014.]

Kenapa pula, perlu menunggu suasana kondusif di dalam nak melaksanakan undang-undang yang diperintahkan Allah, sedangkan tidak pula dituntut menunggu suasana kondusif dalam hendak melaksanakan undang-undang ciptaan manusia?

Oleh sebab itulah di dalam hal ini, kita dapat melihat ketegasan Al-Marhum Tok Guru Nik Aziz yang mengulas tentang sikap DAP yang menentang Hudud suatu ketika dahulu dengan mengatakan bahawa PAS kekal memperjuangkan Hudud, Jika DAP nak keluar (dari gabungan politik Pembangkang yang ada pada waktu itu); “Itu, dia punya pasal…”

Kalau kita tidak mahu mencuba, apalah salahnya membiarkan PAS mencuba…..

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment