Perjalanan perjuangan Islam sememangnya jauh, sememangnya memakan masa yang lama dan sememangnya memakan masa yang panjang; oleh kerana itu semua, jarak perjuangan Islam ini dengan garis kemenangan, janganlah diukur dengan umur kita.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, pada ayat 42, surah at-Taubah, yang berbunyi;
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنْفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya: “Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu lama), nescaya mereka (yang bersifat gopoh itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” [Surat At-Tawba : 42]
Saya teringat, kata-kata seorang pemimpin PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, selepas keputusan penuh PRU 13 diumumkan; dan Pakatan Rakyat, khususnya PAS parti yang didokongnya tidak berjaya menjadi kerajaan untuk memerintah Malaysia; “Wahai anak-anak muda, bersedialah untuk menyambut kemenangan ini. Kemenangan, mungkin bukan di zaman saya. Boleh jadi kemenangan bukan di masa saya. Boleh jadi kamu (anak muda) yang akan menyambut kemenangan itu. (Kalau boleh) saya nak tengok kemenangan Islam, tetapi kita tidak tahu ia berlaku masa kita atau tidak. Kita mahu Islam berdaulat; Islam (yang) menang.”
Inilah sifat seorang pejuang Islam yang memahami tabi’at perjuangan Islam itu; yang perjalanannya amat jauh sebagaimana ada disebutkan di dalam ayat di atas. Di antara sifat para pejuang Islam itu adalah bahawasanya mereka tidak gopoh untuk mengecap kemenangan. Sebaliknya, para pejuang Islam itu semestinyalah mempunyai kesabaran yang tinggi. Sifat mahu cepat mencapai kemenangan boleh merosakkan pertimbangan dan langkah perjuangan. Sikap mahu cepat menang, boleh menjadikan kita sanggup menggadai dasar dan prinsip perjuangan.
Di sana, mungkin kelihatan seakan-akan, kebatilan itu dapat bertahan lama. Malah, juga kelihatan seolah-olah kebatilan itu tidak akan dapat dikalahkan sama sekali.
Allah subhanahu wa Ta’ala menyebutkan di dalam firmanNya, pada ayat 37 surah al-Anbiyak;
خلق اﻹنسان من عجل سأوريكم ءايتى فلا تستعجلون “
Maksudnya: “Diciptakan manusia dengan sifat gopoh; akan aku perlihatkan kepada mu tanda-tanda Ku; maka janganlah kamu minta segerakan.”
Perasaan yang merasakan bahawa kebatilan itu akan bertahan lama adalah sifat bawaan kita manusia; yang ingin segala sesuatunya itu cepat berhasil sebagai yang kita kehendaki. Kita ingin cepat. Ingin sekarang juga. Kita rasa lambat, sebab kita tidak sabar menunggu.
Kita akan terasa lebih lambat lagi, jika apa yang kita tunggu adalah kemenangan dan bukannya kejayaan. Kemenangan, maknanya memang terhad, tetapi kejayaan pengertiannya amat luas. ‘Kemenangan’, jika kita tunggu; ianya bukan sahaja akan terasa amat lambat, malah boleh sahaja kita tidak sempat mencapinya langsung di dunia ini. Kebanyakan nabi-nabi Allah, tidak pun dapat mencapai kemenangan menjadi pemerintah untuk negara masing-masing.
Saidina Hamzah, Yasir dan isterinya Sumayyah misalnya; tidak sempat mengecapi nikmat kemenangan Islam ke atas Madinah dan Makkah. Sebenarnya, Rasulullah salllahu alaihi wa sallam juga tidak berjaya mengecapi nikmat kemenangan menguasai Rom Dan Parsi, malah tidak sempat mengecapi nikmat penguasaan Islam ke atas dua pertiga dunia.
Apalah maknanya, ‘kita’ menang hari ini, jika yang menang itu bukan Islam. Apalah maknanya, ‘kita’ menang hari ini, jika sebenarnya yang menang itu adalah sekularisma. Apalah maknanya, ‘kita’ menang hari ini, jika sebenarnya yang menang itu adalah kemenangan bagi fahaman demokrasi. Apalah maknanya, ‘kita’ menang hari ini, jika sebenarnya yang menang itu adalah kemenangan ‘peribadi’; kemenangan yang bersifat kemahuan individu.
Biarlah yang hakiki itu lambat, biarlah kemenangan itu bukan di zaman kita; tetapi kemenangan itu mutlaq sebagai kemenangan Islam…
Jangan Ukur Tempoh Perjuangan Mengikut Umur Kita…