Seorang sarjana Islam yang banyak menulis tentang adab atau cara mendidik anak-anak berasaskan Islam iaitu Abdullah Naseh Ulwan dalam sebuah bukunya yang berjodol ” Tarbiah al-Aulad fi al-Islam” telah meletakkan beberapa syarat sebelum atau semasa merotan anak-anak sebagai antara tuntutan didikan.
Antara syarat untuk merotan anak-anak ialah sebagaimana berikut :
1. Ibubapa atau penjaga mestilah terlebih dahulu menggunakan segala usaha nasihat dan mendidik yang lain terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan merotan apabila cara yang lembut sudah tidak berkesan
2. Tidak merotan anak-anak semasa dalam kedaan terlalu mara yang boleh menyebabkan kecederaan terhadap anak-anak
3. Tidak merotan di tempat-tempat larangan atau merbahaya seperti muka, kepala, dada dan perut anak-anak
4. Tindakan merotan kali pertama terhadap anak-anak mestilah perlahan, tidak terlalu kuat yang boleh menyakitkan samada di tangan atau kaki. Jika tidak berkesan untuk satu rotan maka terus dirotan sehingga tiga kali. Jika masih berdegil selepas dirotan sebanyak tiga kali maka boleh dirotan sehingga 10 kali tetapi jangan melebihi jumlah itu sebagaimana sebuah hadis nabi s.a.w yang bermaksud : Jangan merotan seseorang melebihi 10 kali melainkan dalam menjalankan hukum hudud Allah.
5. Tidak merotan anak-anak yang belum sampai umurnya 10 tahun sebagaimana sebuah hadis nabi s.a.w yang bermaksud : Perintahlah anak-anak kamu dengan sembahyang ketika berumur 7 tahun dan rotanlah mereka jika tidak sembahyang apabila berumur 10 tahun….
6. Apabila anak-anak meminta melalui lisan agar jangan merotannya ketika mahu dirotan buat kali pertama maka hendaklah diberi peluang kepada mereka berubah tanpa dirotan berserta dengan janji untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama selepas itu. Tindakan ini adalah lebih baik berbanding tetap merotan mereka
7. Ibubapa atau penjaga mestilah merotan sendiri anak-anak yang degil bukannya mewakilkannya kepada adik-beradik yang lain untuk melakukannya bagi mengelakkan timbulnya persengketaan antara adik-beradik.
8. Apabila anak-anak sudah baligh maka tindakan dalam merotan hendaklah lebih kerap dan diulangi sehingga anak-anak berubah ke arah yang baik serta menjauhi segala kesalahan yang dibuat selama ini
Rujukan:
1. Abdullah Naseh al-Ulwan, Tarbiah al-Aulad, juzu’ 2, cet. ke-30 1996, Dar al-Fikr, Lubnan
MEROTAN ANAK – DARI SUDUT PANDANGAN ISLAM