Menjadi Yatim Piatu
Semasa dalam perjalanan balik dari Yasrib, Aminah jatuh sakit dan wafat di sebuah tempat bernama Abwa’. Kedudukan Abwa’, terletak di antara Yasrib dan Mekah, namun lebih dekat dengan Makkah. Pada waktu itu, Nabi (s.a.w), berusia 6 tahun. Aminah, dimaqamkan di situ sahaja kerana Makkah masih jauh. Tidak diketahui, siapa yang menjalankan kerja-kerja memaqamkan Aminah. Juga tidak diketahui, bagaimana Nabi dan ibu pengasuhnya Ummu Aiman, menyelenggarakannya. Namun ini adalah perkara seperti ini adalah biasa bagi kaum musafir di tanah Arab, sehingga tiada penting untuk diberitakan.
Kubur Aminah, diberikan tanda. Walau bagaimana pun, sesudah Ibnu Su’ud berkuasa di Makkah, semua kuburan keluarga Nabi; dari Abdul Mutalib ke bawah; dan Khadijah ke bawah, diratakan dengan tanah. Hanya perigi-perigi yang tidak diratakan.
Hikmah Nabi Muhammad (s.a.w) diyatimkan
Menurut Idris al-Marbawi, dalam tafsir surah yasinnya, Nabi Muhammad sallalahu alaihi wa sallam diyatimkan oleh Allah subhanahu wa ta’ala adalah kerana Allah hendak melepaskan sekelian pengaruh didikan ibu dan bapa, daripada diri Nabi sendiri. Menurutnya lagi, pendidikan yang diterima seseorang dalam umur satu hingga tujuh tahun adalah amat besar sekali pengaruhnya.
Hj Zainal Ariffin Abbas, menyokong pendapat Syeikh Idris dan menambah bahawa Allah subhanahu wa ta’ala mengyatimkan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam sehingga tidak ada lagi yang akan menolongnya di dalam segenap hal, selain dari Allah yang sudah mentaqdirkan sekelian taqdir itu. Oleh kerana itu, sejak kecilnya, Nabi sallallahu alaihi wa sallam telah dibiasakan mengalami hal-hal yang sangat pahit dan berat sehingga dia akan lebih bersedia untuk memikul tugas-tugasnya yang bakal dipikulnya nanti.
Tempoh bersama datuknya Abdul Mutallib
Hanya dalam tempoh 2 tahun. Waktu ini, Abdul Mutalib berusia 80 tahun. Kasihnya Abdul Mutalib kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam sehingga beliau suka mendudukkan Nabi sallallahu alaihi wa sallam ditempat duduk yang istimewa dan kehormatan baginya; yang tak diberikannya kepada anaknya yang seumur dan sebaya dengan Nabi sallallahu alaihi wa sallam. [Riwayat berasal dari Ibnu Ishaq, dalam Sirah Ibnu Hisyam]
Nabi Muhammad (s.a.w) dipelihara Abu Talib
Sebelum meninggal dunia, Abdul Mutalib menimbang kepada siapa hendak diserahkan Nabi sallallahu alaihi wa sallam. Ada dikalangan anak-anaknya, sudah pun mempunyai anak yang ramai. Al-Abbas, seorang yang kaya raya, tetapi tidak pernah ada anak. Abu Talib, tidak kaya dan telah mempunyai seorang anak yang sebaya umurnya dengan Nabi sallallahu alaihi wa sallam, iaitu Ja’afar. Kemudian nanti, akan memperolehi Ali dan Aqil. Ali lebih muda 32 tahun berbanding Nabi sallallahu alaihi wa sallam. Akhirnya, Abdul Mutalib menyerahkan Nabi (s.a.w) kepada Abu Talib.
Abu Talib adalah anak Abdul Mutallib yang tertua. Dia dilihat, mewarisi kepimpinan Abdul Mutalib. Walaupun dia seorang yang miskin harta, namun dia dapat menerima Nabi sallallahu alaihi wa sallam dengan baik. Dia sangat sayang kepada Nabi sallallahu alaihi wa sallam, sehingga tidak makan, tidur dan berjalan, jika tidak bersama dengan Nabi sallallahu alaihi wa sallam. Sikap di atas, tidak menimbulkan apa-apa perasan tidak baik di dalam keluarganya.
Ummu Aiman, di dalam kehidupan Nabi Muhammad (s.a.w)
Ummu Aiman, menyayangi, membela dan mengasuh Nabi (s.a.w) sejak kecil. Terutamanya, sejak kembali dari Abwa’, iaitulah selepas meninggalnya Aminah, ibu nabi (s.a.w). Dipanjangkan umurnya oleh Allah subhanahu wa ta’ala, berbanding Nabi sendiri. Hidup sehingga zaman Usman bin Affan memerintah. Kemudian hari, dia berkahwin dengan Zaid bin Harisah dan beroleh anak yang diberikan nama Usamah.