Fikrah Haraki Politik

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Bermimpikan Wahyu ? (2/2)

KE BAHAGIAN (1/2) KLIK SINI

Jika sesuatu hujjah yang berdasar fakta atau lojik itu, bersesuaian dengan dasar-dasar yang disimpulkan dari penghujjahan nas-nas syara’, maka hukumnya bolehlah dilakukan. Sebagai contoh, tahaluf siyasi yang dapat menguntungkan Islam.

Jika sesuatu hujjah yang berdasarkan fakta atau lojik itu, tidak bersesuaian atau bertentangan dengan dasar-dasar yang disimpulkan dari penghujjahan nas-nas syara’, maka ia tidaklah boleh dilakukan. Seperti; tahaluf siyasi yang merugikan Islam.

Dalam Islam, apabila dasar yang terbina dari penghujjahan nas-nas syara’, menentang lojik atau fakta; maka tertolaklah lojik dan fakta itu. Contoh;

1. Jika kita memakai kasut panjang yang sukar untuk dibuka dan dipakai semula, kita dibenarkan oleh syara’ untuk mengambil wudhu’ tanpa membuka kasut itu. Cukup hanya dengan menyapunya di dalam bentuk isyarat. Di sini, lojiknya adalah menyapu bahagian tapak kasut; sebab itu adalah bahagian untuk memijak. Tetapi tidak. Sebaliknya, syara’ menyuruh kita menyapu bahagian atas kasut. Sebagaimana Saidina Ali menyebut;

لو كان الدين بالرأي لكان أسفل الخف أولى بالمسح من أعلاه

“Jika agama itu dengan aqal, nescaya menyapu dibahagian bawah kasut itu lebih utama dari bahagian atasnya.”

2. Jika ikut lojik; adalah lebih cerdik Nabi (s.a.w) menyembunyikan terlebih dahulu tentang peristiwa israk dan mikraj yang dilaluinya, sebagaimana yang dinasihatkan oleh Ummu Hani’ kerana bukan senang, malah mustahil untuk membuatkan rakyat Mekah mempercayainya dan ini boleh memburukkan lagi hasil dakwah. Namun, oleh kerana Allah memerintahkan Nabi (s.a.w) menyampaikannya, maka Nabi (s.a.w) tetap menyampaikannya, walaupun berlaku fitnah besar ke atas Nabi (s.a.w) dan umat Islam pada masa selepasnya.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Bermimpikan Wahyu

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

3. Kalau ikut lojik atau fakta tentang jumlah dan kelengkapan tentera Quraisy dalam peperangan Badar, adalah tidak lojik atau mustahil untuk umat Islam memenanginya. Jika demikian, buat apa berperang jika terbukti dari segi fakta dan lojiknya bahawa kita akan kalah? Namun, atas perintah Allah, peperangan diteruskan juga, walaupun tidak lojik untuk mencapai kemenangan. Sebagaimana kita tahu, umat Islam memncapai kemenangan di dalam peperangan Badar itu.

Itu, sekadar beberapa contoh dan banyak lagi contoh-contoh lain yang menunjukkan bahawa jika nas-nas syara’ berlawanan dengan kesimpulan yang dibina oleh penghujahan fakta dan lojik, maka tertolaklah fakta dan lojik itu.

Inilah sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh Dr Mahfodz bahawa keputusan tidak boleh dibuat kerana golongan yang disifatkan sebagai profesional (padahal ramai lagi golongan pfofesional di dalam PAS) itu, boleh beri fakta-fakta; dan oleh kerana jumlah mereka dominan (lebih separuh, kalau mengikut Aiman Athirah) sehingga menyebabkan keputusan tak boleh dibuat.

Dan apabila Dr Mahfudz berkata bahawa kadang-kadang Tuan Guru Haji Abdul Hadi terpaksa buat keputusan sendiri, itu bukanlah bermaksud, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menggunakan mimpinya untuk membuat keputusan, tetapi dia menggunakan kemahirannya serta penguasaannya ke atas hukum dan nas-nas syara’; dan kemudiannya merujuk kepada majlis syura untuk memantau bahawa keputusannya itu tidak berlawanan dengan hukum dan nas-nas syara’ itu.

Dalam Islam, seseorang ketua yang faqeh, diharuskan menggunakan keputusannya sendiri dan menolak keputusan lain, selama mana keputusan yang dibuatnya itu bersejalan dengan hukum dan nas-nas syara’.

Di sana, di dalam kitab-kitab feqah Islam, ada dua pendapat tentang persoalan ini. Pertama, ketua mesti ikut keputusan; dan kedua, ketua (yang faqeh) boleh buat keputusan sendiri dengan hujah.

Perkara ini dapat dilihat pada kisah saidina Abu Bakar (r.a) yang memerangi orang yang enggan membayar zakat; di mana majoriti sahabat tidak bersetuju, tetapi, saidina Abu Bakar menyatakan bahawa aku akan perangi orang yang tidak mahu membayar zakat walaupun diri aku sendiri.

Begitu juga pada kisah di zaman saidina Umar (r.a) yang meninggalkan pandangan para sahabat dalam isu harta rampasan perang dan melaksanakan keputusannya sendiri. Perkara yang sama juga pada kisah di zaman saidina Ali dalam perkara memecat para pegawai di zaman Saidina Usman.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi, sebagai presiden kebanyakkannya mengikut keputusan mesyuarat. Sehingga kini, hanya di dalam satu isu sahaja, beliau berlainan pendapat dengan mesyuarat dan menggunakan haknya sebagai seorang ketua yang faqeh, sebagai yang tersebut di atas. Itupun Tuan Guru Haji Abdul Hadi mendapatkan pandangan dari pihak lain, termasuk pandangan dan nasihat daripada Majlis Syura Ulamak.

Di sana, orang yang menuduh Tuan Guru Haji Abdul Hadi membuat keputusan berdasarkan wahyu mimpi itu, bukan sahaja akhlaqnya tidak elok, tetapi telah bermain dengan perkara yang melibatkan rosaknya aqidah seseorang. Adakah dia mahu menuduh bahawa aqidah Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah rosak? Bagaimana pula, jika seandainya ada pula orang Islam lain yang mempercayainya? Tiada mengapa jika sekiranya dia membuat kritikan dengan akhlak dan adab Islam yang sepatutnya…..

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Bermimpikan Wahyu

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment