Umum

Kebaikan yang Keji…

Bila kita berbuat baik dengan seseorang, kemudian dalam beberapa tempoh selepas itu, orang yang kita berbuat baik dengannya itu, menjauhkan dirinya dari kita. Diperingkat ini, mungkin orang itu yang tidak pandai mengenang budi. Namun, perkara yang sama, terjadi juga pada orang kedua yang kita telah berbuat baik dengannya dan begitulah pada orang yang ketiga, keempat dan seterusnya. Dalam erti kata lain, setiap kali kita berbuat baik dengan sesiapa, orang itu kemudiannya nanti akan menjauhkan dirinya dari kita; atau dia kelihatan seperti takut mendekati kita atau seperti takut menerima kebaikan dari kita. Diperingkat yang sebegini, diri kitalah yang mesti kita muhasabahkan. Di sana, ada kemungkinan yang amat besar bahawa punca permasalahannya adalah dari diri kita sendiri, bukan orang lain. Mungkin, penyakitnya adalah bahawa kita mahu menakluki orang yang kita berbuat baik kepadanya dengan kebaikan yang kita lakukan itu. Kebaikan yang kita lakukan itu dijadikan penjara untuk memenjarakannya, sehingga dia bertukar menjadi takut kepada kebaikan yang kita mahu berikan. Mungkin juga, kita menyangka kita ikhlas, sedangkan ada gejala riyak yang cukup halus tersembunyi di dalam diri kita. Kita sangka kita ikhlas, sehingga kita tidak dapat melihat atau ragu kepada keikhlasan orang. Kita minta orang bersangka baik, tapi kita sendiri bersangka buruk. Orang yang benar-benar ikhlas, sepatutnya mudah untuk melihat bahawa orang lain juga ikhlas. Orang yang bersangka baik, dia tidak mudah untuk menghukum bahawa orang lain telah bersangka buruk. Mungkin juga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, kita merasakan diri kita sudah cukup baik, sehingga kita berhak menyangka buruk terhadap orang lain. Mungkin juga, oleh kerana kita telah banyak berbuat baik, kita tidak boleh terima bahawa orang yang menerima kebaikan kita itu, telah membelakangkan kita, walau pun itu sebenarnya hanyalah sangkaan kita semata-mata. Oleh kerana kita selalu dipuji kerana selalu berbuat baik, maka kita menjadi tamak dengan pujian. Kadang-kadang kita sengaja memuji-muji kebaikan orang lain terhadap diri kita, sebagai modal agar kebaikan kita dipuji-puji pula; atau kita memuji kebaikan orang lain terhadap kita untuk menyinis orang lain yang kita anggap tidak baik kepada kita.

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment