Umum

Bingkisan Aidil Fitri Buat Sahabat-Sahabat Seperjuangan…

Iklan

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dihormati dan dikasihi sekelian…

Detik kedatangan 1 Syawal telah amat hampir. Bila ia sampai, kita semua akan memperbanyakkan bertakbir sebagai mana ianya menjadi suatu amalan yang amat digalakkan oleh agama kita.

Di antara keratan kata-kata yang akan kita ucapkan berulang kali pada hari raya nanti adalah;

لااله اِلااللهُ ولانعْبدُ الاإيّاه مُخلِصِينَ لَه الدّ يْن, وَلَو كَرِهَ الكَا فِرُون, وَلَوكرِهَ المُشْرِكوْن, وَلَو كرِهَ المُنَافِقوْن.

Maksudnya: Tiada Tuhan selain Allah dan tiada yang kami sembah selain kepada-Nya, Kami meninggikan  agama Islam meskipun orang kafir, musyrik, dan munafiq membencinya.

Sahabat-sahabat seperjuangan yang amat dikasihi sekelian…

Dalam keratan lafaz takbir raya diatas, kita dapat memahami bahawa pekerjaan mengibadahi atau mengabdikan diri kepada Allah; yang juga terkandung di dalamnya makna menjunjung segala titah perintah dan syariatNya; berjuang agar titah perintah dan syariahNya tertegak atau tertinggikan atau dimuliakan di atas muka bumiNya ini; hendaklah dilakukan dan diteruskan juga, walau pun di sana ada golongan yang tidak menyukainya.

Satu lagi perkara yang dapat kita fahami di sini adalah bahawa mana-mana perjuangan yang dibenci oleh golongan kafir, musyrik dan munafik itulah perjuangan Islam yang sebenarnya; dan mana-mana perjuangan yang diredhai, malah ditaja oleh golongan kafir, musyrik dan munafik itulah perjuangan yang telah tersasar dari landasan perjuangan Islam yang sebenarnya, walaupun digelar progresif, inklusif dan seumpamanya.

Di antara golongan yang tidak menyukai dan akan berusaha menghalang usaha menegakkan perintah dan syariah Allah ini, sebagaimana ada disebut di dalam lafaz takbir raya itu adalah golongan yang bersifat engkar dari mengikuti perintah dan larangan Allah itu. Di antara mereka adalah golongan yang sememangnya tidak mengimani Allah sebagai Tuhan; atau langsung tidak percaya kepada adanya Tuhan; atau golongan yang mengimani Allah sebagai Tuhan, tetapi hanya mematuhi sebahagian dari ajaranNya dan meninggalkan sebahagian yang lain. Dalam erti kata lain, mereka mematuhi perintah dan ajaran Allah secara terpilih.

Begitu juga dengan golongan yang berpura-pura bahawa mereka tidak memusuhi Islam. Golongan yang cuba memperdayakan umat Islam dengan sengaja menunjuk-nunjukkan, kononnya mereka tidak benci kepada Islam. Mereka memakai songkok, berbuka puasa bersama-sama dengan orang Islam dan sebagainya; tetapi apabila umat Islam mahu mempraktikkan ajaran Islam yang mereka imani tanpa sedikitpun menganggu mereka yang bukan Islam, maka mereka bertindak menghalang dengan segala daya dan upaya mereka.

Malangnya, tidak kurang juga dari kalangan umat Islam yang tertipu dan percaya dengan golongan yang berpura-pura menyukai Islam ini. Golongan dari kalangan umat Islam yang tertipu dan terpedaya ini telah mengambil sikap yang berlawanan dengan roh yang terdapat di dalam lafaz takbir raya, sebagai mana yang telah dinyatakan.  Mereka memperjuangkan ajaran Islam secara terpilih, terikat kepada  apa yang dibenci dan apa yang tidak dibenci oleh rakan kafir mereka. Mereka memperjuangkan Islam mengikut apa yang dibenarkan atau apa yang tidak dibenarkan oleh sekutu kafir mereka itu. Dalam erti kata lain, mereka memperjuangkan Islam di dalam acuan yang disenangi dan ditetapkan oleh sekutu kafir mereka. Sedangkan apa yang telah kita janjikan di dalam lafaz takbir raya ini adalah untuk memperjuangkan perintah dan syariat Allah, tanpa mengira samaada, perintah Allah itu di benci atau tidak oleh pihak kafirun atau musyrikun atau munafiqun.

Saya ingin mengajak diri saya serta seluruh sahabat-sahabat seperjuangan; marilah kita berpegang dan melaksanakan janji kita kepada Allah dalam lafaz takbir yang kita ucapkan setiap tahun itu dengan menjanjikan bahawa kebencian pihak mana pun terhadap kerja-kerja perjuangan Islam yang kita lakukan ini tidak akan dapat menjadi penghalang kepada kita untuk beristiqamah dengan perjuangan kita ini sehingga kita dianugerahkan dengan kemenangan atau kita ditemui kematian.

Sahabat-sahabat-sahabat yang dihormati dan dikasihi sekelian…

 

Di dalam lafaz takbir hari raya yang sering kita wiridkan setiap hari raya itu juga ada keratan yang berbunyi;

لاالهَ اِلا اللهَ وَحدَه, صَدَق ُوَعْدَه, وَنَصَرَ عبْدَه, وَأعَزّجُندَهُ وَهَزَمَ الاحْزَابَ وَاحْدَه

 

Tiada Tuhan selain Allah dengan ke-esaan-Nya. Dia Maha menepati janji. Dan menolong hamba-hamba-Nya, Memuliakan bala tentara-Nya dan menghancurkan musuh-musuh dengan ke Esaan-Nya. Tiada Tuhan selain Allah. Dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar dan Segala Puji hanya bagi Allah.”

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dihormati dan dikasihi sekelian…

Di dalam petikan lafaz takbir hari raya sebagai yang telah disebut diatas; Allah (s.w.t), dengan berlatar-belakangkan sejarah yang pernah berlaku dalam perjalanan perjuangan Rasul Allah (s.a.w), ada memberikan kepada kita suatu gambaran bahawa menjadi suatu tabi’ie kepada perjalanan perjuangan Islam itu, bahawasanya golongan yang memperjuangkan Islam itu nantinya, akan tinggal sendirian; dan sebaliknya, pihak yang menentang Islam itu pula, secara praktikalnya berupa suatu gabungan yang terdiri dari berbagai golongan atas apa yang Allah sifatkan sebagai ahzab.

Kita melihat hari ini bahawa golongan Islam itu semakin terlekang dari sebarang gabungan yang selama ini mencemarkan serta merosakkan kesuciannya. Manakala, golongan-golongan yang menentang perjuangan Islam itu semakin tertarik mendekati di antara satu sama lain. Akhirnya nanti, akan berlakulah di mana, golongan yang memperjuangkan perintah dan larangan Allah itu, tinggal sendirian di dalam meneruskan perjuangan mereka di atas muka bumi Allah ini, berdepan dengan gabungan yang terbentuk dari beberapa golongan yang mungkin berbeza dalam konteks tertentu, tetapi mempunyai satu persamaan, iaitu tidak mahu melihat Islam tertegak.

Meskipun begitu, sejarah mempercirikan bahawa golongan yang memperjuangkan Islam ini tidak pernah akan gentar jika perlu bersendirian kerana meyakini janji Allah, bahawa Allah menunaikan janjiNya dan bahawa Allah yang pada hakikatnya yang menghancurkan golongan ahzab itu; dan janji terulang-ulang di bibir mereka setiap Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Sahabat-sahabat seperjuangan sekelian. Firman Allah (s.w.t);

و لا تهنوا و لا تحزنوا أنتم الأعلون إنوكنتم مؤمنين

Janganlah kita merasa hina dan merasa duka cita jika laluan perjuangan kita terlihat semakin sempit dan sukar kerana ia bertepatan dengan janji Allah;

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة

Marilah kita benar-benar meyakini janji Allah dalam lafaz takbir raya yang telah berkali-kali kita ucapkan bahawa bila tiba masanya sebagaimana yang dikehendakki dan ditetapkan oleh Allah, Allah, sekali lagi akan menunaikan janjinya menghapuskan seluruh musuh-musuh Allah yang bergabung untuk memadamkan cahayaNya.

يُرِيدُونَ أَنْ يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَنْ يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

[Surat At-Taubah 32]

 

تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال، وأدام عليكم الصحة والعافية، ووفقكم لخيري الدنيا والآخرة. وكل عام وأنتم بخير وبصحة وعافية وأمان وإيمان وفقنا الله جميعا لطاعته ومرضاته

و بالله التوفيق و الهداية و السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


 

Iklan

About the author

Hishamuddin Abdul Aziz

Leave a Comment